Penasihat DAP, Lim Kit Siang bercakap kepada media sempena mini ceramah di Pekan Batu 11, Cheras, Kuala Lumpur. foto MIRZA HASIM, 22 OGOS 2018
Penasihat DAP, Lim Kit Siang bercakap kepada media sempena mini ceramah di Pekan Batu 11, Cheras, Kuala Lumpur. foto MIRZA HASIM, 22 OGOS 2018

BANGI – Penasihat DAP, Lim Kit Siang berharap para pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri Balakong menterjemahkan sokongan besar kepada Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil 8 September ini sebagaimana keputusan PRU-14 Mei lalu.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, mandat itu penting sungguhpun ia sekadar pemilihan kecil melibatkan pengundi kira-kira 61,000.

“Sungguhpun melibatkan PRK satu kerusi sahaja untuk keraan negeri Selangor, satu undi dari setiap penduduk di sini adalah penghargaan yang dizahirkan kepada mendiang Eddie Ng Tian Chee.

“Kedua semangat kita mahu semangat 9 Mei perlu diteruskan secara total oleh pengundi kerana UMNO ketika ini cuba menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan,” katanya ketika ditemui di kempen calon PH, Wong Siew Ki di Kampung Baru Pekan Batu 11 Cheras pagi tadi.

Diminta mengulas mengenai kerisauan majoriti yang akan keluar mengundi kali ini mungkin merosot, katanya, kekhuatiran itu wujud dan pihaknya sedang bergiat memujuk pengundi keluar beramai ramai mengundi.

“Ya ini yang kita khuatir sangat.. oleh kerana lebih 85 peratus pengundi keluar undi PRU14, PRK ini mereka mungkin anggap bahawa tentulah boleh menang tak payah keluar mengundi.

“Sebab itu saya ingin memesan mereka bahawa PRK kecil ini mustahak bukan sahaja untuk Balakong tapi Malaysia juga jika mereka mahu semangat 9 Mei diteruskan untuk membina negara baharu untuk cucuk cicit kita.

“Kalau boleh keluar ramai ramai tolong mengundi supaya kita boleh kekalkan kerusi, bukan sekadar menang tapi menang dengan majoriti lebih besar daripada PRU lepas kalau boleh,” tegas beliau. – MalaysiaGazette