Video tarian yang dikecam netien. foto Instagram Aliff Syukri.

KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman mengucap terima kasih di atas teguran selebriti, Wardina terhadap video tarian yang dimuat naiknya tiga hari lalu.

Aliff Syukri yang positif dengan teguran itu bagaimanapun berkata beliau berbuat demikian atas tuntutan kerja.

“Ya saya akui kesilapan saya dan apa yang Kak Dina cakap itu saya terima cuma saya buat atas tuntutan kerja yang telah termaktub dalam kontrak,” katanya di laman Instagramnya.

Aliff Syukri turut memadam video tarian tersebut selepas dikecam netizen.

Jelas bapa kepada empat anak itu, beliau akan menghargai teguran masyarakat selagi ia dibuat mengikut budaya dan menggunakan pendekatan yang sopan.

“Sewaktu ditawarkan (pekerjaan) saya gembira kerana saya ingin dikenali di Indonesia.

“Saya amat hargai teguran semua orang walau siapa pun selagi tidak ada kata-kata kesat dan maki hamun. Insya-Allah saya terima. Izinkan saya lunaskan kerja-kerja saya.

“Sebenarnya dalam klip promo lirik video dan teaser tu ada lebih dari 15 orang yang terlibat dan saya tidak memegang mereka langsung.

“Produksi Indonesia juga memperuntukkan 2miliar rupiah untuk muzik video penuh di mana semua konsep daripada mereka… dan saya sebagai bakat artis dari label Indonesia hanya mengikut sahaja.

“Kepada semua harap memahami saya juga dan jangan memberi tekanan kepada isteri saya sebab ia mengundang masalah yang lebih berat.

“Dalam perkara ini saya ada beberapa tuntutan kerja yang saya perlu lunaskan untuk lagu ni… yang diurus oleh pengurus saya di Indonesia @didi_3kingkong,” katanya.

Sebelum ini, Aliff Syukri dikecam netizen gara-gara memuatnaik tarian untuk lagu terbaharunya, Semalam Bobo Dimana yang dianggap tidak menghormati sambutan Aidiladha.

Lagu Semalam Bobo Dimana merupakan nyanyian penyanyi dangdut kontroversi Indonesia yang didakwa transgender, Lucinta Luna yang berkolaborasi dengan Aliff Syukri dan seorang lagi usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman.

Video berdurasi 34 saat yang dimuatnaik di Instagram Aliff Syukri memaparkan, usahawan kosmetik itu bersama dengan Lucinta dan Sajat menyanyi sambil menari mengikut rentak lagu dangdut tersebut.

Namun tarian itu agak keterlaluan apabila Lucinta dan Sajat tampil berpakaian seksi sambil menggoyangkan buah dada mereka. – MalaysiaGazette