Foto Instagram Farah Asyikin.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Farah Asyikin terpaksa bertongkat selepas mengalami kecederaan di kaki kirinya gara-gara dihempap oleh motosikal berkuasa tinggi seberat 300 kilogram (kg) milik suaminya.

Menerusi laman Instagramnya, Farah Asyikin memberitahu, kecederaan itu disebabkan ligamen sebelah kaki kirinya koyak.

“Sebenarnya saya cuba mengalihkan motosikal suami untuk memberi ruang kepada tanaman baru dibeli. Malangnya, saya pula dihempap.

“Saya menyelamatkan motosikal itu daripada terhempas tanpa memikirkan keselamatan diri sendiri. Alhamdulillah, tiada sebarang kerosakan pada motosikal itu sebaliknya saya pula cedera.

“Kedengaran bunyi seperti ‘retak’ sewaktu saya menarik kaki kiri daripada motosikal itu. Saya menangis meminta tolong anak saya Owais yang sedang duduk di depan rumah,” tulis bekas peserta Gegar Gema Vaganza musim kedua 2 (GGGV) baru-baru ini.

Farah memberitahu, dia juga dikesan mempunyai kecederaan lama pada kaki kirinya selepas membuat pemeriksaan di hospital.

“Kecederaan mengakibatkan satu ligamen koyak manakala satu lagi hampir terkoyak. Rupanya, kaki kiri saya juga ada kecederaan lama iaitu tulang retak.

“Saya mendapat kecederaan itu selepas terjatuh empat tahun lalu akibat terjatuh daripada tangga. Saya tidak pergi ke hospital pun ketika itu,” katanya.

Farah bagaimanapun bersyukur kecederaannya tidak serius dan dijaga oleh dan keluarganya. – MalaysiaGazette