Dr Halimah Ali
Dr Halimah Ali

PETALING JAYA – Program calon Pas, Dr Halimah Ali di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia akan bermula lewat petang ini, apabila beliau dimaklumkan mempunyai urusan keluarga yang perlu diselesaikan.

Jurucakap urusetia Pas DUN Seri Setia memberitahu, program walkabout dan ziarah kasih calon dijangka bermula jam 4,30 petang ini dengan solat Asar berjemaah di Surau Darul Hidayah, Lembah Subang.

Selepas itu, menurutnya, Halimah dan jentera menghadiri majlis penyampaian daging korban kepada penduduk di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Lembah Subang dan makan malam bersama penggerak wanita di situ.

“Calon akan meneruskan programnya di Masjid Nurul Yakin, Kelana Jaya untuk solat Maghrib berjemaah, bacaan Yaasin dan tahlil bersama penduduk dari jam 7.30 malam hingga 9 malam,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Halimah yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang dipilih oleh pucuk pimpinan Pas sebagai calon parti itu untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia melawan calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR, Halimey Abu Bakar pada 8 September ini.

Kedua-dua calon aktif berkempen di Pusat Dalam Mengundi (PDM) Seri Setia yang masuk hari keenam hari ini.

Sepanjang kempen, Halimah menggunakan pendekatan mendekati rakyat, yang juga pengundi dengan memberitahu mereka perlunya tambahan suara pembangkang dalam sidang DUN Selangor.

Manakala jentera PH pula, selain membawa pendekatan sama, mendekati masyarakat, turut tidak terlepas menyerang peribadi calon Pas berhubung desak meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Namun, Halimah yang memegang jawatan itu setahun lalu telah menyerahkan surat peletakan jawatan berkuat kuasa serta merta dan mengharapkan PH tidak mengungkitkan lagi isu berkenaan.

Dalam tempoh enam hari berkempen juga, kedua-dua calon pernah bertembung di satu lokasi dalam PDM TTDI Jaya dan kedua-duanya mengambil kesempatan itu bergambar bersama. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan