Presiden PBNJ, Datuk Ismail Karim. Foto Facebook Rasmi Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) hari ini mengumumkan penarikan diri dua penaja kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk musim hadapan.

Presiden PBNJ, Datuk Ismail Karim berkata, penarikan diri penaja tersebut adalah kerana jumlah kehadiran penyokong di Stadium Larkin yang semakin merosot sehingga memberi impak kepada kantung kewangan JDT.

“Oleh kerana kehadiran penyokong yang semakin merosot, dua syarikat telah menarik diri daripada meneruskan menaja kelab pada pada musim hadapan.

“Saya ingin memaklumkan kepada para penyokong bahawa ini telah terjadi dan ia bermakna bajet peruntukan kita tahun hadapan telah berkurangan 20 peratus hingga 30 peratus jika ingin dibandingkan dengan tahun ini.

“Kami mempunyai bajet yang kecil dan kurang berkemampuan untuk apa-apa pelaburan di dalam dan luar padang pada tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi Johor Southern Tiger (JST).

Sementara itu, komen yang dikeluarkan berikutan pengumuman  Ismail itu memperlihatkan penyokong JDT telah berpecah kepada dua puak.

Satu puak dilihat tidak menggemari cara Benjamin Mora dan satu puak lagi menyokong sesiapa sahaja yang dilantik sebagai ketua jurulatih JDT termasuk Benjamin Mora.

Faktor itu dikatakan antara kemerosotan jumlah kehadiran penyokong JDT ke stadium musim ini.

Namun realitinya bukan sahaja JDT, kehadiran penyokong pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia pada musim ini diakui memang merosot berbanding musim lalu.

Terdapat beberapa faktor yang mungkin mendorong kepada kekurangan jumlah kehadiran penyokong ke stadium sehingga memberi kesan kepada kantung kewangan pasukan.

Antara adalahpenyokong kita jenis memilih perlawanan dan hanya hadir ketika perlawanan panas sahaja.

Malah, dengan adanya siaran langsung semua perlawanan di laman Facebook dan iflix, mereka memilih untuk menjimatkan wang berbanding melabur untuk berkunjung ke stadium masing-masing jika perlawanan berlangsung pada hari bekerja.

Selain itu, jadual perlawanan yang kerap ditunda ditambah pula dengan rehat yang lama telah menarik balik ‘keghairahan’ penyokong untuk hadir di stadium. Pasukan masing-masing pula dilihat kurang memainkan peranan mereka untuk tarik kehadiran penyokong. – MalaysiaGazette