resignation IRB CEO Najib Razak Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah
Datuk Seri Sabin Samitah

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) pernah memaklumkan kedudukan baki kredit untuk dibayar balik kepada pembayar cukai dalam dalam mesyuarat Kementerian Kewangan.

Mesyuarat bulanan Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai, Kementerian Kewangan itu dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Malah, LHDNM telah memohon tambahan peruntukan untuk dipindahkan ke TBBC agar bayaran balik dapat dilaksanakan.

Permohonan rasmi secara bertulis juga telah dibuat kepada pihak Kementerian Kewangan.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah berkata demikian dalam kenyataan di sini  bagi mengesahkan setakat 31 Mei lalu, sejumlah RM16.04 bilion cukai terlebih bayar belum dibayar balik kepada pembayar cukai.

Ia membabitkan sebanyak 1,653,786 kes syarikat, individu, persatuan dan yayasan.

Daripada jumlah itu, kes melebihi enam tahun membabitkan sejumlah RM3.090 bilion (syarikat), RM1.503 (individu, persatuan dan yayasan).

Kes empat hingga lima tahun pula melibatkan sebanyak tunggakan RM2.759 (syarikat) manakala RM780 juta (individu, persatuan dan yayasan).

Sementara kes tunggakkan antara dua hingga tahun berjumlah RM6.125 bilion dan kes setahun RM1.789 bilion.

Jelasnya, penangguhan bayaran balik cukai terlebih bayar ini disebabkan peruntukan dalam Tabung Bayar Balik Cukai (TBBC) yang tidak mencukupi.

Cukai terlebih bayar berlaku apabila amaun bayaran cukai yang dibayar secara pendahuluan adalah lebih tinggi berbanding jumlah tanggungan cukai yang dilaporkan dalam BNCP.

Semua bayaran yang diterima daripada pembayar cukai akan dimasukkan ke dalam Akaun Kumpulan Wang Disatukan.

Kelulusan penyaluran ke TBBC adalah di bawah tanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai, Kementerian Kewangan.

Jelasnyaa, berdasarkan kedudukan TBBC yang terhad, keutamaan pembayaran balik cukai terlebih bayar diberikan kepada pembayar cukai individu.

Sehingga 31 Julai 2018, LHDNM telah berjaya memproses lebih daripada 90 peratus permohonan bayaran balik cukai tahun semasa bagi kategori pembayar cukai tersebut.

Bagi kategori pembayar cukai yang lain, bayaran balik masih tidak dapat dilaksanakan kerana tiada peruntukan tambahan untuk tabung tersebut.

Bagaimanapun, kata Sabin LHDNM akan memberikan pertimbangan kepada permohonan pembayar cukai yang mempunyai kredit cukai yang perlu dibayar balik oleh LHDNM untuk set-off cukai yang perlu dibayar bagi tahun semasa.

Pembayar cukai hendaklah mengemukakan permohonan set-off tersebut kepada cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai mereka.

Bagi pembayar cukai yang tidak memohon untuk set-off, bayaran balik mereka akan diproses bergantung kepada peruntukan TBBC yang diluluskan oleh kerajaan dan kedudukan kewangan negara.

Jelas beliau, mengambilkira kekangan kewangan akibat hutang kerajaan yang melebihi RM1 trilion, Kementerian Kewangan sedang berusaha untuk mencari sumber kewangan, untuk membuat bayaran balik sama ada pada tahun hadapan atau tahun-tahun berikutnya.

Sebagai peringatan kepada pembayar cukai, terutamanya sektor korporat, terdapat beberapa tindakan yang boleh diambil untuk mengelakkan wujudnya bayaran balik:

a) Memastikan anggaran cukai yang diisi dikira setepat yang mungkin. Sekiranya pihak syarikat mendapati anggaran cukai yang terkini adalah lebih rendah berbanding anggaran cukai yang asal, syarikat boleh membuat pindaan pada bulan keenam atau bulan kesembilan dalam tempoh asas syarikat.

b) Individu yang mempunyai pendapatan daripada punca perniagaan boleh membuat pindaan amaun bayaran ansuran sekiranya mendapati anggaran cukai terkini adalah lebih rendah berbanding anggaran cukai asal.

Permohonan pindaan tersebut hendaklah dibuat tidak lewat dari 30 Jun bagi tahun taksiran yang berkenaan.

Dalam kenyataan sama, Sabin berkata, LHDNM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan khas yang ditubuhkan oleh Polis Diraja Malaysia bagi menyiasat laporan yang berkaitan dengan isu bayaran balik cukai pendapatan. – MalaysiaGazette