Semua 4.03 juta saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang belum dibayar sejak 2012 sehingga 31 Ogos lalu telah dibatalkan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Semua 4.03 juta saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang belum dibayar sejak 2012 sehingga 31 Ogos lalu telah dibatalkan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu membayar balik semua perbelanjaan yang ditanggung sehingga kini oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan pulangan 12 peratus setahun sepertimana yang dipersetujui oleh kerajaan terdahulu ketika pengambilalihan AES dari LTAT pada Nov 2017.

Bekas Pengerusi LTAT, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata adalah tidak adil jika kerajaan memutuskan untuk membayar balik wang yang diguna oleh LTAT bagi pengambilalihan kedua-dua syarikat -– ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd –  dan bukan perbelanjaan lain yang ditanggung oleh LTAT bagi AES.

Pada masa yang sama, ia tidak selaras dengan perjanjian konsesi yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau merujuk kepada saman AEC yang dibatalkan oleh Kementerian Pengangkutan baru-baru ini kerana perjanjian berat sebelah antara kerajaan terdahulu dan dua syarikat konsesi yang mengendalikan sistem itu.

Keputusan yang saling bertukar bagi projek AES oleh kerajaan terdahulu sepatutnya tidak memberi kesan ke atas pulangan kepada LTAT bagi pelaburan berasaskan pertimbangan komersial, kata Mohd Anwar yang juga Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM).

LTAT melabur dalam projek AES kerana projek itu didapati berpotensi berdaya maju dari segi komersial dengan pulangan “double digit” atas pelaburan di samping dapat membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada veteran angkatan tentera dan mengurangkan kemalangan dan kematian di jalan raya di negara ini.

Pada 2014, LTAT telah dijemput oleh kerajaan terdahulu untuk mengambil alih projek AES dari kedua-dua syarikat –  ATES Sdn.Bhd dan Beta Tegap Sdn.Bhd yang dianugerahkan projek itu pada mulanya.

Pada 2017, kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah membuat keputusan untuk mengambil alih projek itu dari LTAT dengan membayar balik semua kos pelaburan termasuk pulangan 12 peratus setahun.  – BERNAMA

 

Tinggalkan Jawapan