Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dibebaskan dengan jaminan polis semalam, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dibebaskan dengan jaminan polis semalam, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

PETALING JAYA – Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dibebaskan dengan jaminan polis semalam, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Portal berita, FreeMalaysiaToday melaporkan, Musa ditahan 10 pagi semalam di Kuala Lumpur, tetapi majistret menolak permohonan reman oleh polis mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau dilaporkan ditahan ketika menerima rawatan susulan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, Selangor.

Musa dikehendaki polis untuk membantu siasatan susulan laporan dibuat Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin pada 14 Mei lalu berkaitan ugutan jenayah selepas upacara angkat sumpah jawatan ketua menteri.

Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di depan Juhar pada 10 Mei lalu, selepas memperoleh majoriti mudah.

Bagaimanapun, Datuk Seri Shafie Apdal yang juga presiden Parti Warisan Sabah dilantik sebagai ketua menteri dan mengangkat sumpah di depan Juhar 2 hari kemudian selepas beberapa Adun Barisan Nasional berpaling tadah.

Musa dilapor meninggalkan Malaysia pada 16 Mei lalu untuk menjalani rawatan di London dan beliau tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada 21 Ogos lalu.