Jenama Cindai kembali dengan himpunan santai kemeja buat lelaki.

KUALA LUMPUR – Kebanyakan golongan lelaki pada hari ini mengambil berat pada penampilan diri. Jangan hairan jika almari pakaian mereka kini penuh dengan pelbagai koleksi pelbagai mengikut keperluan majlis.

Pakaian juga memainkan peranan besar dalam memberikan imej atau gambaran positif mengikut bidang kerjaya. Jika mereka yang bekerja di pejabat, imej perlu selari dengan pakaian yang kemas dan formal.

Sudah pasti gaya ke tempat kerja mesti berbeza dengan penampilan ke majlis formal. Seiring dengan arus kemodenan,  lelaki juga sudah dilihat semakin bijak bergaya untuk tampil menawan.

PHOTO-2018-08-22-20-43-27
Cindai tampil dengan corak bunga serta jalur sesuai.

Dalam hal ini, pakaian memainkan peranan penting. Malah setiap individu perlu tahu memilih pakaian yang sesuai untuk dipadankan dengan diri masing-masing.

Dan sebut sahaja mengenai fesyen, kasual dan ringkas pastinya menjadi pilihan ramai ketika ini kerana selain mudah untuk digayakan, ia juga memberi ruang untuk mereka bergiat aktif dan riang.

Memahami senario itu, Butik Cindai menerusi jenama Cindai kembali dengan himpunan santai buat lelaki. Kali ini, butik popular itu menampilkan rekaan kemeja ringkas namun bermain dengan nuansa warna dan corak bagi memeriahkan gaya si pemakai.

PHOTO-2018-08-22-20-43-29
Pemilihan warna-warna terang yang menonjolkan ciri keberanian lelaki agar kelihatan lebih muda dan segar.

Pereka fesyen Cindai, Azrul Izwan Ibrahim bijak mengetengahkan fabrik cita dan viscose cita yang menjadi pilihan utama koleksi terbaharu ini.

Azrul Izwan tidak mahu syok sendiri sebaliknya faktor cuaca negara yang panas  memerlukan lelaki bergaya dengan kemeja serap peluh dan tidak merimaskan.

Cindai juga berani melakukan inovasi apabil tampil dengan corak bunga serta jalur sesuai dengan kegilaan lelaki metroseksual yang semakin menggemari corak berani ini.

PHOTO-2018-08-22-20-43-30
Corak bunga kini menjadi kegilaan lelaki metroseksual.

Azrul Izwan juga berjaya menyuntik kelainan menerusi pemilihan warna-warna terang yang menonjolkan ciri keberanian lelaki agar kelihatan lebih muda dan segar.

Walaupun ia menggunakan ilham rekaan sedia ada, sentuhan moden tidak ketinggalan dengan menerap elemen kurta malahan setiap pakaian yang direka memenuhi gaya bersahaja apabila dipakai.

Di samping itu, beliau berjaya mewujudkan gaya yang tampak sederhana mewujudkan penampilan yang harmoni.

PHOTO-2018-08-22-20-43-26
Elemen kurma turut disuntik dalam memberi pilihan kepada si pemakai.

Sementara itu, bermula Oktober depan Cindai akan mewarnai persada fesyen negara selepas terpilih sebagai koleksi yang bakal dijual di pusat membeli belah Metrojaya di MidValley Megamall.

Usahasama antara Metrojaya dan Asian Designers Guild(ADG) yang diketuai pereka fesyen tersohor Bill Keith itu bakal memperlihatkan lebih banyak rekaan kasual terkini pada masa akan datang.

Dalam pada itu, koleksi terbaharu Cindai itu boleh dilayari di Instagram Cindai Mahsuri, Facebook Cindai Mahsuri atau laman web www.cindai.my. – MalaysiaGazette

PHOTO-2018-08-22-20-43-24
Koleksi Cindai bakal dijual di pusat membeli belah Metrojaya di MidValley Megamall.