Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menunjukkan kebolehan mengacau sup tulang pada Program Sembelihan Korban di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri berkata, peruntukan yang diberikan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu dikekalkan walaupun pelantikan wanita dalam agensi itu tidak mencapai  30 peratus.

Menurut Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, peruntukan perlu dinilai terlebih dahulu berdasarkan keperluan penduduk.

“Kita ada sasaran untuk meletakkan 30 peratus penyertaan wanita dalam jawatan PBT tetapi ia mestilah diperincikan dengan kelayakan.

“Peruntukan pula berdasarkan keperluan penduduk,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menyempurnakan Ibadah Korban di Masjid Nurul Hidayah, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin yang mahu  menilai semula peruntukan kepada PBT yang gagal melantik 30 peratus ahli majlis dalam kalangan wanita.

Dr Wan Azizah berkata, ahli majlis dalam kalangaan wanita yang dilantik perlu mempunyai kelayakan dan merupakan penduduk sekitar kawasan yang diwakili majlis.

“Kalau boleh diketengahkan penghuni-penghuni dan pengundi,” katanya lagi. -MalaysiaGazette