Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah

KUANTAN – Status pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bergantung kepada keputusan rundingan antara syarikat swasta yang terlibat, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau menambah tempoh masa yang sewajarnya perlu diberi kepada syarikat berkenaan untuk meneliti dan merundingkan semula beberapa perkara sebelum mencapai keputusan muktamat.

“Perkara paling penting ialah kedua-dua pimpinan negara bersetuju ia perlu dirundingkan dan ini memudahkan keputusan dicapai. Pihak China faham dengan masalah yang dihadapi kerajaan Malaysia.

“Namun keputusan dan perinciannya mesti dibuat oleh syarikat dalam perjanjian itu dan kerajaan tidak mahu campur tangan secara keterlaluan. Kita beri sedikit masa kepada mereka.

“… jika diteruskan bagaimana dengan jumlah kosnya atau jika dibatalkan, jangan pula kita dikenakan penalti terlalu tinggi,” katanya semasa ditemui selepas menghadiri Program Dialog ’10 Janji 100 Hari: Apa Kata Menteri’ di sini, hari ini.

Saifuddin diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan sedang mengkaji sama ada menangguhkan atau mencari kaedah lain untuk melaksanakan ECRL.

Kenyataan itu bercanggah dengan kenyataan awal Dr Mahathir pada 21 Ogos lepas, semasa lawatannya ke China, yang mengumumkan pembatalan projek ECRL dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) atas alasan kewangan negara.

Pembinaan ECRL yang melibatkan laluan sejauh 688.3 kilometer itu dengan kos melebihi RM80 bilion membabitkan syarikat Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan kontraktor utama China Communications Co. Ltd (CCCC).

Saifuddin berkata setakat ini, beliau faham Perdana Menteri menyifatkan perjanjian ECRL sebagai ‘perjanjian bodoh’ kerana harga lebih mahal daripada sepatutnya selain Malaysia perlu membayar penalti yang tinggi jika dibatalkan.

“Tun M (Dr Mahathir) pada pertemuannya dengan Perdana Menteri China Li Keqiang dan Presiden Xi Jinping telah menegaskan Malaysia adalah sebuah negara yang menghormati perjanjian.

“Tetapi kita minta China memahami kerajaan baharu ini mewarisi hutang yang teruk selain perjanjian perniagaan mestilah bersifat adil dan saksama serta menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya.

Berhubung kenyataan Dr Mahathir yang mahu ‘Tembok Besar China’ di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di sini dirobohkan, Saifuddin berkata perkara itu perlu dilihat daripada sudut undang-undang.

Katanya, semakan perlu dilakukan untuk melihat jika terdapat perjanjian yang membenarkan pembinaannya, dan jika tidak, peruntukan undang-undang apakah yang membolehkan tindakan meruntuh dilakukan.

“Saya tidak merasakan ia boleh menjejaskan hubungan dengan China kerana ini adalah hubungan perniagaan. Kita hendak pastikan MCKIP berjaya kerana memberi pekerjaan kepada rakyat tempatan, tapi perasaan dan keselamatan pekerja perlu dijaga,” katanya.

Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota menambah bahawa beberapa masalah di MCKIP mungkin berlaku akibat kurang kefahaman mengenai undang-undang Malaysia dan kerajaan baharu komited memulihkan keadaan itu.

“Kita tidak menyalahkan mereka kerana kesilapan itu datang daripada pihak kita, iaitu kerajaan lama dan sebagai kerajaan baharu, apa yang tidak menepati undang-undang mesti diperbetulkan,” katanya.

Ditanya mengenai pandangan sesetengah pihak yang mengatakan tindakan kerajaan baharu akan menimbulkan rasa tidak senang kerajaan China, Saifuddin berkata: “Some Malaysian think they understand China government better than anyone else” (Sesetengah rakyat Malaysia beranggapan yang mereka memahami kerajaan China lebih baik daripada orang lain).

— BERNAMA