Dr Wan Azizah Wan Ismail
Dr Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Undang-undang yang longgar mengakibatkan kes bayi didera di tempat pengasuh gagal dikekang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, sepatutnya individu yang mengambil tanggungjawab mengasuh anak-anak perlu bebas daripada rekod jenayah.

“Saya rasa sedih berlaku ini dan macam tidak ada kesudahan walaupun kita mengambil langkah-langkah untuk mencegah dan menangani masalah ini.

“Kementerian ini adakan cara-cara dan jawatankuasa khas bagaimana nak menambahbaik taska, tempat mengasuh kerana seperti saya katakan ada kelompongan yang mesti kita tengok secara terperinci.

“Kita nak syorkan siapa yang mengambil menjadi pengasuh  mesti tidak ada rekod jenayah berkaitan kanak-kanak ,” katanya kepada pemberita. 

Beliau berkata demikian mengulas insiden bayi lelaki berusia empat bulan kini kritikal dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) akibat pendarahan dalam otak dan mata selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya pada Isnin lalu.

Namun Dr Wan Azizah menegaskan sekali lagi bahawa tanggungjawab utama ibu bapa untuk memilih taska yang selamat melalui beberapa pertimbangan termasuklah pendaftaran dan pengalaman pengasuh. 

“Sesiapa yang jaga anak-anak mestilah bertanggungjawab, apa-apa yang terjadi perlu ambil tindakan dan langkah-langkah agar memberhentikan perkara ini .

“Ibu bapa mestilah memilih dan mengetahui tempat pengasuhan itu selamat untuk anak-anak,” ujar beliau .-MalaysiaGazette