Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman.
Datuk Mohd Azis Jamman

KUALA LUMPUR –  Dakwaan kononnya 300,000 anggota masyarakat India negara ini tidak mempunyai dokumen pengenalan diri seperti yang digembar-gemburkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah tidak benar, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman berkata ini kerana pihaknya hanya menerima 3,853 permohonan kewarganegaraan daripada individu berketurunan India sehingga 30 Mei lepas.

“Daripada jumlah itu, 1,638 permohonan telahpun diselesaikan manakala 2,215 permohonan masih dalam proses.

“Sebelum PRU, angka 300,000 itu dinyatakan oleh anggota-anggota Parlimen pembangkang (Pakatan Harapan) pada masa itu. Of course angka itu tidak tepat serta tidak benar dan hari ini saya berada dalam Dewan Negara menyatakan jumlah sebenar berkenaan dengan status undocumented masyarakat India yang ada di negara kita,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator T.Mohan.

Mohan dalam soalan asalnya ingin tahu jumlah sebenar individu masyarakat India yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di Malaysia.- BERNAMA