Salah satu gambar Mat Sabu tular ketika menghadiri majlis korban di Thailand yang dikaitkan dengan fahaman Syiah baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata kunjungan beliau pada majlis korban di sebuah perkampungan di selatan Thailand baru-baru ini adalah hal peribadi.

Sebuah portal berita melaporkan beliau menghadiri majlis korban di sebuah masjid di Phatthalung yang dikatakan menjadi markas syiah di wilayah itu.

“Itu saya tidak perlu jawablah, ia hanya dakwaan sahaja (hadir majlis korban syiah). Saya hadir majlis korban di banyak tempat di Thailand setiap tahun seperti di kem keamanan di sana.

“Ia adalah urusan peribadi dan saya hadir atas dasar jemputan serta diiringi pihak tentera,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata tiga anggota pasukan khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkhidmat sebagai pengiring rapat kepada bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah kembali berkhidmat dengan ATM.- BERNAMA