Kereta perisai aset angkatan tentera turut membuat perarakan pada sesi raptai Sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 29 OGOS 2018.

PUTRAJAYA – Kira-kira 300,000 orang awam dijangka bakal memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya 31 Ogos ini.

Urusetia Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2018, Rozainor Ramli berkata, pihaknya menjangkakan upacara yang diadakan di Pusat Pentadbiran itu selepas 13 tahun itu bakal bertambah meriah.

“Selepas 2003 dan 2005, kita sekali lagi mengadakan perbarisan Hari Kebangsaan 2018 di Putrajaya semula.

“Sudah pasti sambutan kali ini lebih luar biasa dan signifikan kerana kita meraikan dalam suasana baharu dibawah kerajaan baharu Pakatan Harapan yang dibentuk selepas 9 Mei lalu.

“Sudah pastinya ratusan ribu rakyat jelata berbilang bangsa dari kanak-kanak hingga warga emas akan mensasarkan sambutan di Dataran Putrajaya ini untuk menyemarakkan lagi semangat patriotik mereka kepada serata dunia,” katanya dalam taklimat media sempena sambutan kali ke-61 itu Jumaat ini.

Tambah Rozainor, sambutan kali ini akan menjadi tumpuan dunia apabila lebih 502 pengamal media mewakili 41 agensi tempatan dan antarabangsa akan berkampung untuk melaporkan sambutan tersebut dengan pas media khas yang disediakan dengan kawasan liputan yang luas tanpa sebarang sekatan.

Bagi memastikan orang awam selesa untuk memasuki Putrajaya bagi menyertai sambutan kali ini, sebanyak 30 bas percuma akan terlibat dalam perkhidmatan bermula 6 pagi hingga 2 petang pada hari sambutan Jumaat ini.

Orang ramai diharap merancang perjalanan mereka untuk ke Putrajaya kerana beberapa laluan utama di Putrajaya akan ditutup bersempena sambutan kali ini.

“Laman Perdana, Persiaran Perdana, Lebuh Wawasan, Lebuh Saujana, Lebuh Bestari, Lebuh Setia, Jalan Perpaduan, Jambatan Wawasan, Jalan Pembangunan, Jalan Kemerdekaan dan Jalan T. A. Rahman antara laluan yang ditutup kepada awam pada Jumaat ini.

“Tetapi kita ada menyediakan lebih kurang 6000 lot parking letak kereta untuk awam dan saya berharap merancang perjalanan anda mengelak sebarang kesulitan di lokasi sambutan yang akan dikawal ketat dibawah pengawasan polis dan tentera demi keselamatan umum,” ujar beliau.

Pada perbarisan kali ini, katanya pihaknya mengekalkan pancaragam pasukan beruniform seramai 524 orang melibatkan pelbagai agensi disusuli persembahan khas Sayangi Malaysiaku.

“Justeru kali ini tumpuan akan beralih kepada perbarisan dan 269 aset darat dan 68 aset udara melibatkan tentera, polis dan Bomba.

“Keseluruhannya dianggarkan lebih 17,000 orang peserta akan terlibat dalam acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan kali ini,” tegas beliau.

Terdapat 10 segmen persembahan dan perarakan iaitu kenegaraan, perkhidmatan awam, ekonomi, animasi, sukan, jati diri, ketenteraman awam, keselamatan negara, pertunjukan udara dan segmen rakyat bersepadu.

Di samping itu, katanya, sambutan tidak akan tamat selepas upacara perbarisan dan keberangkatan Yang DiPertuan Agong Sultan Muhammad V dari lokasi sebaliknya acara konsert hiburan dan Karnivel gegar khusus untuk orang ramai akan diteruskan sehingga Ahad ini.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, seramai 1,351 pegawai dan anggota polis akan terlibat dalam mengawal keselamatan dan lalu lintas sempena sambutan kali ini.- MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan