KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) membeli hartanah di United Kingdom membabitkan pelaburan kira-kira RM280 juta (39.75 juta pound).

Hartanah itu adalah dua kemudahan penuntut di United Kingdom iaitu 800 Bristol Road di Birmingham dan The Mill House di Edinburgh.

Kedua-dua hartanah itu dibeli daripada IP Investment Management (HK) Ltd dan Maven Capital Partners, dengan harga pembelian masing-masing 4.62 juta pound dan 25.13 juta pound.

Anggaran purata hasil bersih hartanah adalah pada 5.08 peratus.

800 Bristol Road di Birmingham terletak di Selly Oak dan dalam jarak berjalan kaki dari Universiti Birmingham.

Universiti-universiti bersebelahan termasuklah Birmingham City University, Aston University dan Kolej Universiti Birmingham.

Kemudahan yang disiapkan pada tahun 2016 merupakan bangunan 4 tingkat yang menyediakan 103 penginapan studio untuk pelajar, selain bilik pawagam, bilik majlis, gimnasium, bilik belajar, dobi, ruang letak basikal dan 11 tempat letak kereta.

The Mill House di Edinburgh terletak di Koridor Pendidikan Edinburgh yang menempatkan empat universiti termasuk Universiti Edinburgh, Universiti Heriot-Watt, Universiti Edinburgh Napier dan Universiti Queen Margaret.

Bangunan yang 6 tingkat ini menyediakan 23 studio dan 234 unit suite, selain gimnasium, bilik umum, bilik permainan, dobi, ruang letak basikal dan 12 tempat letak kereta.

Pengambilan alih terbaharu ini menjadikan jumlah harta yang dimiliki oleh KWAP kepada 14.
Selain memiliki hartanah itu, KWAP juga mempunyai aset-aset hartanah di Australia, London, United Kingdom dan Jerman.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, pengambilan alih hartanah KWAP diarahkan oleh Dana Peruntukan Aset Strategik, yang kini mempunyai pendapatan tetap sebanyak 40 peratus, ekuiti (45 peratus) dan 15 peratus pelaburan alternatif.

Pelaburan hartanah merangkumi 9 peratus daripada peruntukan untuk pelaburan alternatif, diikuti oleh ekuiti swasta sebanyak 4 peratus dan infrastruktur pada 2 peratus.

Sehingga 31 Disember 2017, sebanyak 75 peratus daripada pelaburan hartanah KWAP adalah hartanah asing manakala baki 25 peratus berada dalam pasaran tempatan. – MalaysiaGazette