Dua Naib Presiden Pas, Idris Ahmad (kanan) dan Datuk Iskandar Abdul Samad (kiri) menunjukkan risalah pengenalan calon parti itu dalam PRK Seri Setia, Dr. Halimah Ali (tengah) di Pusat Media PRK Seri Setia, Hotel TH Kelana Jaya, Petaling Jaya. Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 29 OGOS 2018.
Dua Naib Presiden Pas, Idris Ahmad (kanan) dan Datuk Iskandar Abdul Samad (kiri) menunjukkan risalah pengenalan calon parti itu dalam PRK Seri Setia, Dr. Halimah Ali (tengah) di Pusat Media PRK Seri Setia, Hotel TH Kelana Jaya, Petaling Jaya. Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 29 OGOS 2018.

PETALING JAYA – Masyarakat Cina dan India dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dinasihatkan agar jangan takut dan bimbang untuk mengundi Pas pada Pilihan Raya Kecil (RK) DUN itu 8 September ini.

Calonnya, Dr. Halimah Ali berkata, dengan slogan “Pas Untuk Semua” membuktikan parti itu tidak berjuang untuk orang Melayu dan Islam sahaja malah masyarakat Cina dan India juga termasuk dalam perjuangan mereka.

Menurutnya, selama dua penggal beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang dari pilihan raya umum tahun 2008 hingga 2014, lebih 50 peratus masyarakat Cina di DUN berkenaan menerimanya sebagai wakil rakyat mereka.

“Di Pulau Ketam misalnya, 99 peratus adalah komuniti Cina. Saya bangunkan kawasan itu sebagai destinasi pelancongan penting di Selangor tanpa menjejaskan ciri-ciri, adat resam dan budaya mereka.

“Masyarakat Cina termasuk India di DUN Selat Klang terima saya sebagai ADUN di situ sehingga saya kekal selama 10 tahun.

“Hari ini, saya dipilih oleh pucuk pimpinan parti untuk menjadi calon Pas bertanding di DUN Seri Setia. Saya akan kekalkan momentum cinta saya kepada masayarakat Cina dan India di Selat Klang, di kawasan ini,” katanya pada sidang media di Pusat Media di Kelana Jaya hari ini.

Sebelum itu, beliau dan jentera kepimpinan Pas termasuk dua naib presidennya, Idris Ahmad dan Datuk Iskandar Abdul Samad melawat serta meninjau para media bertugas di Pusat Media sepanjang 12 hari berkempen sejak 18 Ogos lalu.

Menurut Halimah, tidak ada sebab orang bukan Islam dan Melayu perlu takut atau menjauhkan diri kerana Pas bukan parti ekstrim. – MalaysiaGazette