Mahathir
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada media selepas selesai mengadakan pertemuan dengan Pemimpin Perniagaan ASEAN di The St. Regis Kuala Lumpur. foto MIRZA HASIM, 30 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Tabung Harapan Malaysia yang diwujudkan untuk rakyat di negara ini mempamerkan rasa patriotik dan cintakan negara sehingga sanggup mendermakan wang mereka bagi membantu kerajaan membayar hutang dipercayai cuba disalah guna oleh segelintir pihak.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui wujudnya sekumpulan kecil yang dipercayai menghadapi ‘masalah’ dalam syarikat mereka sanggup menderma dengan jumlah yang besar kepada Tabung Harapan bagi menyelesaikan isu yang sedang dihadapi.

Namun jelas Mahathir, beliau tidak akan sesekali ‘terbeli’ dengan kumpulan ini, sebaliknya sentiasa berdiri teguh dengan mengimbangi prinsip ketelusan dan keadilan.

“Saya beri contoh, kami di datangi oleh sebuah syarikat bermasalah yang mungkin mempunyai ‘agenda’ dan sanggup memberikan jumlah derma yang sangat besar. Tetapi akhirnya kita telah tolak sumbangan itu.

“Kita sedikitpun tidak terkesan atau terjejas dengan kumpulan seperti ini. Kita tidak terima,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Pemimpin Perniagaan ASEAN di Hotel St Regis Kuala Lumpur sebentar tadi.

Tun Mahathir menyatakan demikian ketika diminta mengulas adakah benar tedapat individu yang cuba mengambil kesempatan kewujudan Tabung Harapan bagi kepentingan peribadi atau syarikat mereka dengan memberikan derma kepada tabung tersebut.

Tambah Mahathir, kini pihaknya dalam proses perbincangan bagi menghentikan kutipan derma Tabung Harapan dan kemungkinan ia akan dilkakukan pada bulan hadapan.

“Sebenarnya, niat dalam mewujudkan Tabung Harapan adalah satu iniasitif yang sangat mulia dan bagus. Rata-rata rakyat mahu menunjukan rasa sayang dan cinta kepada negara sehingga sanggup menderma walaupun dengan nilai yang sedikit kerana mahu bantu kita tanggung bebanan hutang.

“Kita bukan mahu ‘mansuh’ Tabung Harapan sebaliknya mungkin menghentikan inisiatif ini dalam masa terdekat. Masih dalam peringkat perbincangan tetapi rasanya bulan depan. Kita henti bulan hadapan,” katanya.

Tabung Harapan yang ditubuhkan pada 30 Mei lalu bagi membolehkan rakyat yang patriotik menyalurkan sumbangan selepas mengetahui paras hutang kerajaan mencecah RM1 trilion.

Penubuhannya juga membolehkan Kementerian Kewangan menguruskan sumbangan ikhlas rakyat itu secara sistematik dan telus.

Sehingga 3 petang semalam, sebanyak RM179,677,780.66 telah didermakan oleh rakyat Malaysia. – Malaysia Gazette