Harga rokok naik mulai 1 September ini.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – JT International Bhd (JTI Malaysia) memaklumkan akan menaikkan harga rokok bagi semua jenamanya yang dikeluarkan di Malaysia.

Bagaimanapun, JTI Malaysia tidak menyatakan kenaikan rokok secara khusus.

JTI Malaysia mengedarkan rokok jenama Winston, Mevius dan LD.

Kenaikan itu susulan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 September ini.

Pengarah Urusan JTI Malaysia Cormac O’Rourke berkata, peningkatan harga itu selepas mendapat kelulusan daripada pengawal selia.

Katanya, peningkatan harga rokok akan meluaskan jurang harga yang diluluskan dengan rokok haram.

Harga rokok kini dijual di pasaran antara RM12 hingga RM17 bagi rokok 20 batang.

Dalam kenyataannya, JTI Malaysia berkata, syarikat itu kecewa kerana kerajaan tidak mengekalkan kadar cukai jualan 5.0 peratus yang dikenakan sebelum pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Pengenalan cukai jualan sebanyak 10 peratus untuk produk tembakau di Malaysia diterjemahkan kepada kenaikan harga bagi semua jenama rokok kami dengan mengambil kira perbezaan kadar tambahan daripada kadar GST terdahulu yang dikenakan ke atas rokok,” kata O’Rourke.

Beliau percaya, kenaikan ini akan memburukkan pasaran rokok yang menyebabkan pengguna beralih kepada rokok haram yang murah.

Katanya, menurut Kajian Penyeludupan Rokok yang dijalankan oleh AC Nielsen Wave 1 (Mac-Mei 2018), sebanyak 58 peratus perokok Malaysia menggunakan rokok haram.

Harga rokok tidak disemak semula selepas penolakan GST pada bulan Jun, berikutan arahan daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan. – MalaysiaGazette