Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim takut hilang jawatan Perdana Menteri yang dijanjikan jika bertindak menentang Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ujarnya, bekas Ketua Umum PKR itu dilihat lebih selesa diam menikus dengan segalanya tindakan Mahathir dalam menerajui Malaysia sebagai Perdana Menteri ketujuh sekarang.

“Kalau Anwar terus menerus memberikan perlindungan kepada Mahathir jadi kita beranggapan bahawa hari ini semua rasuah dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh  Mahathir dilindungi oleh Anwar.

“Anwar tidak berani menegur Mahathir, dan dia tidak berani bela nasib rakyat kerana dia takut hilang jawatan Perdana Menteri,” katanya.

Lokman berkata demikian selepas menemani bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam majlis majlis perkelahan santai bersama Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor di Taman Botani Perdana hari ini.

Semalam, Mahathir berkata Anwar hanya menasihati kerajaan agar memberi perhatian kepada kebajikan orang Melayu dalam pertemuan mereka baru-baru ini.

Anwar sebelum itu melahirkan kerisauan tentang kebajikan orang Melayu yang padanya tidak begitu diberi perhatian.

Dalam pada itu, Lokman berkata, sekiranya Anwar melindungi Mahathir, maka rakyat harus bangkit dan menentang semua kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Kalau benda ini berlaku, rakyat kena bangkit dan tentang Anwar sekali. Kita anggap mereka sebagai satu barisan yang terlibat rasuah dan tidak boleh terima mereka sebagai pemimpin.

“Saya harap Anwar akan buat sesuatu jika dia berani, nampak macam tidak berani tegur Mahathir,” katanya lagi. -MalaysiaGazette