Lim Guan Eng
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilihat seolah-olah masih terasa hati serta merajuk dengan kritikan daripada pembangkang khasnya Pas berikutan kenyataan ‘menghina’ beliau beberapa hari lepas di Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa kerajaan terdahulu tidak memindahkan peruntukan yang mencukupi kepada Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC) hingga menyebabkan tunggakan besar berjumlah RM16 bilion.

Beliau berkata, perkara itu telah berlaku melebihi enam tahun lalu ketika bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar mempengerusikan mesyuarat bulanan Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai, Kementerian Kewangan.

“Semalam, polis mengambil keterangan saya berkaitan dengan masalah cukai lebihan bayar sebanyak RM16.046 bilion sehingga 31 Mei 2018 yang gagal dibayar balik kepada pembayar cukai sejak lebih enam tahun dahulu.

“Mohd. Irwan Serigar, tidak memindahkan peruntukan yang mencukupi kepada TBBC seperti yang dipohon oleh LHDNM.

“Malah, Ketua Pengarah LHDNM ada tulis surat secara rasmi kepada Tan Sri Dr Mohd Irwan pada 2016 untuk meminta lebih banyak wang dipindahkan kepada TBBC tetapi tidak diambil peduli oleh Tan Sri Dr Mohd Irwan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut beliau, polis kini sedang menyiasat kes tersebut yang diklasifikasikan sebagai pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan berikutan laporan polis pada 23 Ogos 2018 yang dibuat oleh ADUN Keranji, Chong Zhe Min.

Guan Eng mendakwa, apa yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu boleh dianggap sebagai pemalsuan akaun dan penyelewengan tunggakan bayaran balik baki kredit untuk kegunaan lain atau untuk menutup defisit supaya dapat
menunjukkan keadaan lebihan.

“Perkara pokoknya ialah siapa yang sebenarnya bertanggungjawab, adakah Tan Sri Mohd Irwan atau mantan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak atau kedua-duanya?, soal beliau. – MalaysiaGazette