Pengerusi DAP, Tan Kok Wai berkata, Mohamed Nazri sememangnya gemar mengeluarkan kenyataan yang gempak, tetapi tidak praktikal, malahan bersifat
Duta Khas ke China, Tan Kok Wai berkata, beliau tidak berasa tertekan dengan tugas yang diberikan kepadanya walaupun hubungan diplomatik Malaysia dengan China dikatakan dibelenggu beberapa isu.

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Tan Kok Wai mengampuni “ketidaktahuan” Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah sambil menegaskan kesahihan mandatnya sebagai Duta Khas ke China melalui pelantikan oleh Perdana Menteri.

Kok Wai yang juga Ahli Parlimen Cheras bagaimanapun bertanya sama ada Saifuddin telah ponteng mesyuarat Kabinet sehingga tidak tahu akan hal pelantikan Duta Khas ke China.

Kok Wai mengajukan soalan pedas itu selepas Saifuddin menyatakan bahawa pemimpin kanan DAP tersebut hanya dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC) dan bukannya duta khas.

Pakatan Harapan sebelum ini pernah mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana melantik duta-duta khas yang peranan mereka bertindih dengan duta Malaysia ke negara berkenaan.

Menurut Saifuddin, pelantikan duta khas menjadikan kerajaan Pakatan Harapan tidak berbeza dengan kerajaan BN terdahulu.

Kok Wai ketika dihubungi China Press bagaimanapun membidas Saifuddin kerana kurang berpengetahuan tentang peranan dan tugas duta khas.

“Sebagai menteri, Saifuddin boleh menyemak dengan Perdana Menteri. Saya bagaimanapun memaafkan ketidaktahuan Saifuddin,” katanya.

Kok Wai turut menunjukkan sepucuk surat yang menyatakan Perdana Menteri melantiknya sebagai Pengerusi MCBC merangkap Duta Khas ke China secara sah pada 1 Ogos.

Menurut Kok Wai, beliau telah memanjangkan perkara itu kepada Saifuddin  dan Menteri Luar tersebut turut menjelaskan kepada akhbar The Star bahawa pelantikan Duta Khas ke China diluluskan dalam Kabinet.

“Maka saya mahu bertanya kepada Saifuddin, adalah anda tidak hadir dalam mesyuarat Kabinet? adalah anda ponteng kerja?,” katanya kepada China Press.

Tegas Kok Wai, beliau tidak mungkin mencipta pelantikan yang tidak wujud.

Ditanya tentang manifesto Pakatan Harapan yang membidas pelantikan politik, Kok Wai berkata, pelantikan politik dalam manifesto adalah merujuk kepada pelantikan dalam badan berkanun dan bukannya duta khas.

“Kalau menolak semua pelantikan politik, maka semua Ahli Parlimen tidak boleh menjadi Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.