Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) N.49 Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengangkat tangan selepas diumum menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.49 Sungai Kandis di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.49 Sungai Kandis, Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 04 OGOS 2018.
Mohd Zawawi Ahmad Mughni mengangkat tangan selepas diumum menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.49 Sungai Kandis di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.49 Sungai Kandis, Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 04 OGOS 2018.

SHAH ALAM – Mohd Zawawi Ahmad Mughni hari ini secara rasminya mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Undangan (ADUN) Sungai Kandis pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-14 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ng Sue Lim.

Majlis mengangkat sumpah itu diadakan sebelum istiadat perasmian persidangan itu yang disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir ke istiadat itu ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Mohd Zawawi, 48, daripada PKR memenangi pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos lepas, selepas menewaskan calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K. Murthy dengan majoriti 5,842 undi.

Kerusi Sungai Kandis kosong susulan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Pada PRU-14, Mat Shuhaimi dari PKR memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd. Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76). – MalaysiaGazette