Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi menegaskan pihaknya langsung tidak terlibat dalam proses menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini.

Malah sumber SPRM memberitahu Malaysiakini, peguam Guan Eng tersilap dalam mendakwa pegawai SPRM yang memberitahu Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini untuk menggugurkan pertuduhan tersebut.

“Arahan untuk menarik diri daripada kes ini tidak datang daripada SPRM. Jika ada, sudah pasti Ketua Pesuruhjaya, Datuk Seri Shukri Abdul tidak akan mengeluarkan kenyataan rasmi menyatakan suruhanjaya itu terkejut dengan keputusan itu.

“Mohd Masri Daud juga bukan pegawai SPRM. Beliau ialah timbalan pendakwa raya yang mewakili Pejabat Peguam Negara (AGC).

“Masri tidak berbincang dengan SPRM mengenai menggugurkan pertuduhan,” kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Beberapa jam sebelum itu, peguam Guan Eng yang juga merupakan Ahli Parlimen Gelugor, Ramkarpal membidas kenyataan ‘terkejut’ yang dikeluarkan oleh SPRM dengan mendakwa pihaknya tidak tahu menahu tentang pengguguran tersebut.

Sejurus selepas itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula melahirkan rasa terkejut dengan pengguguran kes rasuah melibatkan Guan Eng yang juga merupakan mantan Ketua Menteri Pulau Pinang ketika dakwaan tersebut.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pagi tadi bertindak membebaskan Guan Eng daripada dua tuduhan rasuah berhubung dakwaan penukaran status tanah negeri dan pembelian banglo di bawah nilai pasaran.

Ahli perniagaan Phang Li Koon yang merupakan bekas pemilik rumah sewa Lim, daripada pertuduhan bersubahat dengan Lim untuk mendapatkan banglo pada kos bawah nilai pasaran turut dibebaskan daripada dakwaan tersebut. – MalaysiaGazette

Tak masuk akal SPRM terkejut, kata Ram Karpal