Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas tamat tahanan reman berhubung kes salah guna dana PRU14 di Mahkamah Majistret Putrajaya, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2018.
Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas tamat tahanan reman berhubung kes salah guna dana PRU14 di Mahkamah Majistret Putrajaya, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 03 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tindakan SPRM tidak membenarkannya berjumpa dan berunding dengan peguamnya semasa direman berkaitan siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan dana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Hasanah, selaku pemohon memfailkan saman pemula itu menerusi Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co. pada 30 Ogos lepas dengan menamakan SPRM dan Kerajaan Malaysia selaku responden.

Peguam Datuk Shaharudin Ali, yang mewakili Hasanah, ketika ditemui pemberita berkata, hari ini itetapkan untuk pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizah Nawawi, yang kemudiannya menetapkan 24 Sept untuk pendengaran saman pemula itu.

Dalam saman itu, Hasanah menuntut perintah perisytiharan bahawa surat pemberitahuan dikeluarkan SPRM di bawah Seksyen 28A (8) (9) Kanun Acara Jenayah untuk menyekat hak pemohon daripada berunding dengan peguamnya sepanjang tempoh beliau direman adalah bertentangan dengan Fasal 5(3) dan Fasal 8 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, pemohon mendakwa Seksyen 28A itu tidak sah, batal dan tiada kesan serta tidak boleh dikuatkuasakan terhadapnya.

Menerusi afidavit sokongan yang disertakan bersama saman itu, seorang lagi peguam Hasanah, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata firma guaman mereka mengetahui bahawa Hasanah telah ditangkap oleh SPRM pada 28 Ogos dan anggota keluarganya mengarahkan pihaknya untuk hadir keesokan hari (29 Ogos) dalam prosiding reman di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Peguam itu mendakwa, cara untuk pihaknya mengetahui alasan penangkapan Hasanah dan Seksyen mana beliau akan disiasat adalah dengan menemuinya sendiri di lokap mahkamah sebelum kes reman dipanggil oleh Majistret.

Namun, Mohd Khairul mendakwa satu surat pemberitahuan di bawah Seksyen 28A (8) (9) Kanun Acara Jenayah diserahkan kepada pihaknya ketika prosiding reman berkenaan untuk menyekat atau menghalang wanita itu daripada bertemu dengan peguambela.

Dakwanya, menurut Fasal 5(3) Perlembagaan Persekutuan, seseorang yang ditangkap hendaklah diberikan hak kebebasan asasi iaitu hak untuk berunding dengan peguam dan hak untuk dibela oleh peguam.

Hasanah telah direman selama enam hari ini bermula 29 Ogos bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan dana PRU14 dan dibebaskan semalam dengan jaminan SPRM.

— BERNAMA