Datuk Mohd Imran Tamrin
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 21 FEBRUARI 2017.

SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) mahu jawatankuasa pilihan di bawah Dewan Undangan Negeri Selangor bebas daripada pengaruh kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Harapan (PH).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, walaupun jawatankuasa bakal diterajui wakil rakyat pembangkang, namun boleh dianggotai oleh wakil kerajaan negeri.

“Kita mahu Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) bertindak sebagai satu jawatankausa bebas, di mana ia tidak boleh dipengaruhi oleh kerajaan negeri.

“Walaupun pengerusinya daripada pembangkang, namun ahli jawatankuasanya boleh terdiri daripada ADUN di sebelah kerajaan.

“Sekiranya ADUN-ADUN kerajaan melihat berlaku sebarang ketirisan atau kelemahan dalam pentadbiran kerajaan negeri, mereka perlu mengakui dan membawa isu itu ke dewan untuk dibahaskan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Selain PAC, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) bakal dikembalikan dalam Dewan Selangor bagi penggal ke-14 ini.

Mohd Imran juga berkata, PAC dan SELCAT ini akan membantu melakukan semak dan imbang kepada pentadbiran kerajaan negeri.

“Ia jadi satu keutamaan bagi pembangkang di mana BN Selangor kini telah menjadi pembangkang secara total memerlukan platform-platform seperti ini.

“Saya yakin dengan adanya jawatankuasa ini, ia membantu kita di pihak pembangkang mengimbangi pentadbiran kerajaan terutamanya dalam isu urus tadbir yang baik.

“Kita mahu melihat perjalanan kewangan dan pentadbiran diuruskan Kerajaan Negeri menepati citarasa rakyat dan apa yang dibahaskan serta dipersetujui di peringkat Dewan Negeri Selangor,” katanya.

Katanya lagi, jawatankuasa itu turut penting bagi memastikan pengerusi portfolio-portfolio Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dilaksanakan dengan baik menepati kehendak rakyat.

“Kita tidak mahu dalam PAC dan SELCAT ini berlaku sebarang ketirisan ataupun kelemahan dalam urus tadbir oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan pula perlu memperbaiki apa juga kesilapan dan bukan sekadar menubuhkan jawatankuasa hanya atas nama sahaja tetapi tidak memberi kesan atau peranan sepatutunya terhadap sistem atau semak dan imbang itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette