Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan melahirkan rasa hairan beliau apabila masyarakat di luar Terengganu yang menggelupur ekoran isu sebatan Syariah keatas pasangan Lesbian pada Isnin lalu.

Menurut beliau, ada pihak mengatakan kepada beliau, mengapa masyarakat luar Terengganu sibuk mengkritik kerajaan negeri berhubung hukuman tersebut yang dijalankan Mahkamah Tinggi Syariah negeri itu.

“Orang Terengganu kata : hok kene sebat, hok duduk di Tranung, tapi hok gelupur sakit hok duduk di KL. Biser sungguh sebatan itu,” katanya dalam entri terbaru di Twitter rasminya hari ini.

nasUjarnya, masyarakat di luar Terengganu tidak perlu risau akan pelaksanaan hukuman sebat syariah yang dilakukan di khalayak ramai kerana tidak melanggar syariat Islam.

“Sebatan Syariah dilakukan tanpa mendedahkan aurat dan mencederakan kulit dilihat sadis dan dikutuk oleh mereka, sedang sebatan sivil yang menelanjangkan pesalah serta pecah belakang dek sebatan yang kuat, tidak pula dipertikai. Apa mereka mahu sebenarnya?” soal beliau.

Bekas Ahli Parlimen Temerloh itu mengulas mengenai kerisauan masyarakat terutamanya kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bimbang akan pelaksanaan hukuman itu di Terengganu.

Antaranya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang membidas kerajaan Pas Terengganu dengan berkata hukuman sebat yang dilaksanakan ke atas dua wanita yang cuba melakukan hukuman seks sejenis itu tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa oleh agama Islam.

Malah katanya, memandangkan ia adalah kes pertama bagi mereka, sepatutnya Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu perlu memberi nasihat dan tidak seterusnya melakukan (hukuman) sebat sehingga diketahui oleh seluruh negara.

MGF15102017_MINUM PETANG DANA PAS07(1)
Sallehen Mukhyi

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan, yang menjadi bualan ramai berkata, beliau pelik kerana yang disebat (pesalah) tidak sakit, (tetapi) yang tidak disebat ramai yang sakit.

“Boleh jadi kerana sambutan hari terkejut Malaysia,” katanya berseloroh.

Ujarnya, hukuman itu adalah prosedur yang mesti dihormati semua pihak dan ia juga selaras dengan kenyataan Dr Mahathir sebelum ini mahukan al-Quran dijadikan panduan.

“Itulah (hukuman sebat syariah) sebenarnya panduan (al-Quran), dan hukuman itu perlu disaksikan oleh sebahagian orang awam,” katanya.

Dr Mahathir semasa ditemuramah berkata, umat Islam mampu menyelamatkan agama, umat dan negara Islam lain sekiranya mereka kembali kepada al-Quran serta mengamalkan panduan hidup yang tertulis di dalamnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan