BANGI – Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong kali ini memberi kejutan besar apabila merekodkan peratusan keluar mengundi terendah dalam sejarah piihan raya negara.

PRK yang diadakan  pada hari ini bermula 8 pagi dan selepas ditutup 5.30 petang merekodkan hanya 43 peratus keluar mengundi daripada jumlah 62, 219 orang berdaftar yang layak mengundi.

Ia sekali gus meleburkan rekod yang dipegang PRK Penanti pada 2009 yang mencatatkan 46 peratus keluar mengundi.

Ia sekaligus memusnahkan sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan 70 peratus keluar mengundi di kawasan tersebut.

Sejurus selepas penamaan calon pada 18 Ogos lalu, kempen 21 hari digunakan sebaik-baiknya oleh calon PH Wong Siew Ki dan calon MCA, Tan Chee Teong mempromosikan logo parti mereka masing-masing.

Kedua-dua calon turut menyatakan kebimbangan mereka mengenai peratusan keluar mengundi sekaligus menyeru pengundi keluar beramai ramai menjalankan tanggungjawab mereka.

Mereka begitu berhati-hati dalam memastikan rekod PRK Sungai Kandis merekodkan 49.4 peratusan keluar mengundi tidak berulang di Balakong.

SPR juga tampil dengan pelbagai risalah, kenyataan dan pengumuman dalam tiga bahasa menggunakan tenaga Jabatan Penerangan memasuki kawasan perumahan pengundi Balakong sebaik mungkin sehingga minit akhir sehari sebelum hari mengundi.

Malangnya segala usaha itu gagal membawa perubahan sekaligus mencatatkan peratusan keluar mengundi yang terendah itu.

Agak sukar untuk kita menentukan dimana kesilapan dan apa faktor menyumbang kepada keputusan itu serta pihak mana yang harus dipersalahkan.

Malah, kedua dua calon berkenaan turut meluahkan mengenai persepsi pengundi bahawa kebanyakan pengundi berpendapat undi mereka tidak akan mengubah kerajaan negeri dan memilih untuk tidak keluar mengundi.

Pada PRU-14 lalu, mendiang Eddie Ng Tian Chee dari PH menang kerusi itu dengan majoriti 35, 538 undi menewaskan calon MCA, Lim Chin Wah. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan