Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas menghormati keputusan rakyat dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia malam ini, dan mengucapkan terima kasih atas kepercayaan pengundi kepada calonnya, Dr Halimah Ali.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, walaupun kalah, keputusan itu menunjukkan isyarat awal perubahan sokongan rakyat terhadap perjuangan Pas.

Katanya, peratusan keluar mengundi yang rendah juga petanda undi protes rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Pas komited untuk terus memperjuangkan nasib rakyat, dan sedia menjadi pembangkang yang menasihat serta bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak demi mewujudkan keamanan dan kesejahteraan negara.

“Setinggi penghargaan diucapkan kepada petugas Pas, rakan pembangkang dari UMNO dan MIC, pasukan keselamatan, pengamal media dan semua pihak yang memberika sokongan dan kerjasama baik,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, malam ini.

PH mengekalkan kerusi DUN Seri Setia pada PRK kawasan itu hari ini, setelah calonnya, Halimey Abu Bakar menang dengan majoriti 4,027 undi.

Beliau yang mendapat 13,725 undi mengalahkan lawannya, Dr Halimah Ali dari Pas yang memperoleh 9,698 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kira-kira jam 9 malam ini.

PRK ini menyaksikan berlaku kekurangan undi majoriti oleh calon PH sebanyak 15,345 undi, berbanding yang diperolehi penyandangnya, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, sebanyak 19,372 undi.

Sebanyak 44.1 peratus daripada 53,492 pemilih yang layak mengundi mengikut daftar pemilih sehingga suku pertama 2018 yang dikemaskini sehingga 2 Ogos lalu, keluar mengundi. – MalaysiaGazette