Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Presiden Jawatankuasa Penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali menyarankan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melepaskan kerusi Parlimen Pandan untuk memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Katanya, selepas memenangi kerusi itu, Anwar hendaklah mengambil alih jawatan Timbalan Perdana Menteri dari Dr Wan Azizah dan tidak tergesa-gesa membuat tuntutan bagi jawatan Perdana Menteri.

“Anwar semasa memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri perlu belajar selok-belok pentadbiran kerajaan dari Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan mengenali semua orang-orang PM ketujuh itu supaya kelak dapat meneruskan tugas sebagai PM kelapan dengan lancar.

“Anwar juga hendaklah menyambung dan meneruskan segala dasar dan projek yang dipersetujui Tun Dr Mahathir dan mengusahakan dasar serta projek tanpa merosakkan apa yang telah diusahakan olehnya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, Dr Wan Azizah dilaporkan sebagai mengesahkan satu kerusi Parlimen akan dikosongkan untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding.

Bagaimanapun, beliau yang bakal melepaskan jawatan Presiden PKR itu berkata, bila dan di mana kerusi terbabit akan dikosongkan, tidak dapat diumumkan buat masa ini.

Menurut Dr Ibrahim, Anwar telah lama berada di luar kerajaan dan eloklah beliau mengambil sedikit masa untuk memantapkan diri sebelum mengambil alih jawatan dari Tun Dr Mahathir.

“Seeloknya Anwar mengepalai dan memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setelah Tun Dr Mahathir membubarkan Parlimen bagi membolehkan Anwar mendapat mandat yang tidak berbelah bagi dari rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette