Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas mempersoalkan mengapa Timbalan Pendakwa Raya meminda pertuduhan ke atas ahli kongsi gelap Geng 360, Kajang Devan kelmarin.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, berdasarkan maklumat, semua ahli kongsi gelap itu termasuk seorang ahli politik berpangkat datuk telah didakwa oleh Mahkamah Sesyen Kajang pada 6 Mac tahun lalu.

Kata beliau, pertuduhan terhadap mereka itu dibuat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan di bawah peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

“Pertuduhan yang dibacakan ke atas mereka adalah menganggotai kumpulan jenayah terancang yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan kepada media hari ini mengulas keputusan timbalan pendakwa raya meminda pertuduhan terhadap 57 ahli kumpulan Geng 360 Kajang Devan di Kompleks Penjara Kajang, Khamis lalu, yang dianggap sebagai tindakan mengejutkan ramai pihak.

Kata Nasrudin, menurut bekas Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan), mereka didakwa terlibat dengan pelbagai jenayah serius dan rekod Jabatan Siasatan Jenayah PDRM menunjukkan kumpulan itu pernah terlibat dalam beberapa kes pembunuhan, memiliki senjata api, peras ugut dan culik serta dadah.

“Jika kes ini yang menyebabkan mereka ditahan dan didakwa, mengapa Timbalan Pendakwa Raya membuat pindaan pertuduhan daripada Akta SOSMA kepada hanya Akta Pertubuhan?

“Mereka yang telah dibacakan pertuduhan telah mengaku salah kerana menganggotai pertubuhan menyalahi undang-undang sahaja.

“Semua tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara selama setahun bermula dari tarikh ditangkap iaitu tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, Timbalan Pendakwa Raya mesti menjelaskan isu itu kerana ia membabitkan soal keselamatan awam dan ketelusan pihak pendakwaan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. sosma akan dimansuhkan tentulah kena pinda. nanti bila mansuh yang terlibat terus lepas tanpa bicara.

Comments are closed.