Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengesahkan tidak ada mana-mana pihak yang bertindak ‘mengintip’ akaun media sosial ahli keluarga Istana Johor sedang dipantau seperti yang didakwa Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Malah Ketua Polis Negara,  Tan Sri Mohamad Fuzi Harun turut memberi jaminan perkara seumpama itu tidak berlaku.

Berhubung kenyataan Tunku Mahkota Johor di laman sosial Facebook bertajuk ‘My father and I being monitored,’ PDRM ingin memberi jaminan kepada Istana Johor bahawa perkara ini tidak berlaku.

“Saya akan memohon perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor untuk menghadap bagi memaklumkan perkara ini,” katanya ringkas dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam, TMJ membuat dakwaan tergempar bahawa kerajaan sedang memantau beliau serta Sultan Johor dengan menggunakan peranti khas buatan Israel.

Dakwa TMJ, dakwaan pengintipan itu telah disampaikan kepadanya oleh individu yang identitinya tidak didedahkan.

Jelas beliau, laman sosial mereka sedang dalam ‘pemerhatian’ pihak tertentu malah ramai ‘cybertrooper’ diletakkan pada laman JDT dan peribadi mereka, seperti Official Sultan Ibrahim dan HRH Crown Prince of Johor.

“Ini sangat tidak baik. Intipan ini dilakukan kerana rasa tidak senang ‘sesetengah pihak atasan’,” katanya dalam laman sosial beliau.

Terdahulu, Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Mohd Azis Jamman menafikan sebarang pengintipan seperti itu dan menjelaskan kerajaan atau pemimpin parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak ada mengeluarkan arahan sedemikian.

Malah Azis juga meminta Tunku Ismail menyalurkan maklumat mengenai perkara itu kepada pihak yang berkenaan supaya boleh disiasat.

Selain daripada KDN, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendedahkan pihaknya tidak menjalankan pemantauan besar-besaran terhadap media sosial atau e-mel tertentu.

Pemangku Pengerusi SKMM Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor berkata pihaknya hanya bertindak sekiranya terdapat aduan.

“Sebarang siasatan terhadap kiriman media sosial dan tindakan dibuat sekiranya terdapat aduan atau permintaan daripada agensi penguatkuasaan undang-undang,” ujarnya. – MalaysiaGazette