Fuziah Salleh. foto MIRZA HASIM, 9 OGOS 2018
Fuziah Salleh

KUANTAN – Anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh bersedia mengosongkan kerusinya bagi memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, perkara itu dilakukan dengan pertimbangan untuk membolehkan Anwar kembali ke Parlimen selepas pilihan raya kecil diadakan.

“Ramai anggota Parlimen PKR yang sanggup kosongkan kerusi (Parlimen)… kalau beliau (Anwar) mahu datang ke Kuantan pun, saya sedia mengosongkan kerusi,” kata Fuziah semasa ditemui di Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang 1440H/2018M di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 di sini, hari ini.

Sambutan bertemakan ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’ itu disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan turut hadir ialah Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Fuziah mengulas mengenai spekulasi PKR akan mengosongkan satu kerusi Parlimen pada minggu ini, bagi memberi laluan kepada Anwar, yang dikatakan sebagai persediaan untuk beliau menjadi Perdana Menteri.

Kedudukan kerusi itu dijangka diumumkan esok, selepas Anwar pulang dari Hong Kong.

Setakat ini, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution telah mengesahkan pilihan raya kecil itu tidak akan berlaku di utara mahupun di Pandan, yang buat masa ini dipegang Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ibrahim.  – MalaysiaGazette