Pengerusi SPA, Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, pihaknya malahan akan mengendalikan perkara berkenaan dengan lebih
Pengerusi SPA, Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, pihaknya malahan akan mengendalikan perkara berkenaan dengan lebih "longgar" walaupun maklumat dan dokumen yang diserahkan tidak lengkap.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan menyemak dan meluluskan lantikan pegawai oleh menteri dan timbalan menteri dalam tempoh 24 jam.

Pengerusi SPA, Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, pihaknya malahan akan mengendalikan perkara berkenaan dengan lebih “longgar” walaupun maklumat dan dokumen yang diserahkan tidak lengkap.

“Kami akan memberi kelulusan terlebih dahulu berdasarkan pangkat yang dicadangkan menteri.

“Keadaan yang tergendala dan ‘penurunan pangkat ‘ yang dilakukan oleh pegawai lain ke atas pegawai lantikan tidak akan berlaku lagi,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau bagaimanapun menafikan kononnya pegawai atasan sengaja menentang arahan kerajaan dan menurunkan pangkat pegawai lantikan seperti yang dilaporkan media.

Jelasnya, pelantikan tergendala kerana para pegawai memamatuhi garis panduan yang ditetapkan.

Ujarnya lagi, sistem elektronik yang akan dilaksanakan membolehkan kelulusan dalam tempoh 24 jam.

Tambahnya, isu “Pegawai atasan melanggar arahan kerajaan” sebenarnya sudah selesai dua minggu lalu dengan mempercepatkan proses kelulusan berdasarkan cadangan gred jawatan oleh menteri dan timbalan menteri.

Menurut Zainal, sesetengah pegawai mematuhi garis panduan dalam melaksanakan kerja dan tidak berani mengubah prosedur sehingga berlaku pertikaian.

“Sebagai contoh, gred untuk pembantu menteri ialah 48, 52 dan 54, dan pegawai berkenaan tidak berani menuruti permintaan dengan menawarkan gred lebih tinggi,” katanya.

Tambahnya, pelantikan dan pembayaran gaji tergendala kerana isu seperti dokumen yang tidak lengkap termasuk kekurangan laporan kesihatan, tidak mematuhi syarat kredit Bahasa Malaysia atau isu kelayakan akademik lain.

“Walaupun demikian, kerajaan secara teorinya telah meluluskan pelantikan mereka.

“Mereka bagaimanapun perlu memperoleh surat pengecualian daripada Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam.” katanya. – MalaysiaGazette