KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) masih beroperasi seperti biasa namun bergerak secara bersendirian, kata Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram.

Jelas Dr Jomo, CEP masih lagi berfungsi sebagai satu badan yang membantu pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tun Daim sedang meneruskan tugasnya untuk bantu pihak kerajaan terutamanya Tun Dr Mahathir.

“Dan saya percaya anggota CEP lain turut cuba membantu dalam beberapa perkara tertentu. Di mana kita sedang berusaha secara sendirian,” katanya dalam satu majlis di Universiti Malaya.

Sebelum ini, Pengerusi CEP Tun Daim Zainuddin berkata, ahli badan itu sudah kembali melakukan urusan kerja masing-masing, walaupun Dr Mahathir berkata CEP masih wujud.

Selain Jomo dan Daim, majlis itu terdiri daripada bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican, ahli ekonomi Jomo Kwame Sundaram dan hartawan Tan Sri Robert Kuok.

Sepanjang penubuhan CEP, kesemua mereka telah mengadakan pertemuan dengan kira-kira 350 individu daripada 200 organisasi untuk membantu merumuskan laporan mengenai dasar ekonomi dan kewangan bagi perdana menteri.

Laporan tersebut dihantar 100 hari selepas badan itu terbentuk. -MalaysiaGazette