Hasmah Abdullah
Tan Sri Hasmah Abdullah

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tan Sri Hasmah Abdullah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Reformasi Cukai.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengumumkan perlantikan itu berkata, Hasmah mempunyai pengalaman lebih 37 tahun dalam pentadbiran pencukaian yang mana lima tahun daripadanya adalah sebagai Ketua Pengarah LHDN.

Katanya, antara objektif utama jawatankuasa itu adalah mengenalpasti jurang pencukaian termasuk menangani masalah ketirisan cukai, pengenalpastian dan penerokaan sumber baharu pendapatan cukai, pengenaan cukai terhadap ekonomi digital serta penyemakan keberkesanan insentif cukai mengikut tahap pematuhan syarat yang ditetapkan.

Jawatankuasa ini turut dianggotai oleh tokoh-tokoh yang mempunyai kepakarandalam bidang pencukaian dan kewangan, iaitu Dr Verinderjeet Singh, Datuk Chua Tia Guan dan Amardeep Singh.

Jawatankuasa ini dilengkapi dengan penyertaan Setiausaha Bahagian Cukai dan Timbalannya, Datuk Khodijah Abdullah dan Mohd Sakeri Abdul Kadir dan Timbalan Setiausaha Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Mohd Hassan Ahmad. – MalaysiaGazette