Mahathir
Reaksi Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad selepas selesai sidang media khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto IQBAL BASRI, 14 SEPTEMBER 2018

PETALING JAYA – Pengerusi Pakatan Harapan akui respon negatif terhadap perkembangan semasa politik khususnya pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kesan kepada kerajaan dan parti. 

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, respon yang disuarakan di media sosial tidak diendahkan begitu sahaja. 

“Sebolehnya kita perhatikan reaksi di media sosial dengan perkembangan semasa ini. Kita ambil perhatian semua ini kerana ia memberi kesan kepada parti dan kerajaan Pakatan Harapan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). 

Terdahulu Mahathir mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PPBM. 

Pengguna sosial rata-rata tidak berpuas hati dengan pengumuman penyandang kerusi Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding pada Pilihan Raya Kecil. 

Netizen menganggap tindakan tersebut mengkhianati rakyat yang mengundi Danyal pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan membazir wang kerajaan.

Dalam pada itu Mahathir memaklumkan beliau tidak akan turun berkempen di Port Dickson untuk membantu Anwar walaupun menyokong Presiden PKR itu bertanding di kerusi Parlimen tersebut. 

Jelasnya, sudah menjadi kelaziman untuknya tidak ‘turun padang’ pada PRK dan memaklumkan perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Anwar. 

“Saya dah beritahu Anwar biasanya saya tak turun berkempen untuk PRK tapi saya akan sokong pencalonannya,” katanya. 

Dalam masa yang sama beliau menyelar pendirian yang disuarakan oleh parti itu Bahagian Port Dickson untuk menyenaraihitamkan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani berkempen di kawasan tersebut. 

Katanya ahli-ahli parti yang membuat keputusan itu melanggar peraturan namun berhak menyuarakan pandangan mereka. 

“Yang itu bahagian punya pendapat. Ahli-ahli biasa ni kadang-kadang tak ikut peraturan kita.

“Itu berhak kalau dia rasa sesuatu, dia boleh nyatakan pendirian dia,” menurut Tun M ketika diminta mengulas mengenai pendirian yang disuarakan oleh Penyelaras Bahagian Port Dickson, Ramli Awang bahawa tindakan memboikot pemimpin PKR itu berpunca daripada tuduhan yang dibuat terhadap Mahathir dan Tun Daim Zainuddin yang kononnya mahu menjatuhkan Anwar. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan