Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto IQBAL BASRI, 14 SEPTEMBER 2018

PETALING JAYA – Perdana Menteri Tun DR Mahathir Mohamad akui nilai ringgit kini berada di bawah nilai sebenar disebabkan faktor ekonomi dunia tidak menentu.

Jelas beliau, ia berpunca daripada ekonomi dunia dan dalam masa yang sama perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.

“Semua nilai matawang dunia mengalami penyusutan. Bukan saja Malaysia, malah matawang Argentina dan Turki turut terkesan.

“Ringgit kini berada di bawah nilai sebenar,” katanya.

Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pernah meluahkan kegusaran beliau mengenai nilai ringgit yang dikatakan semakin menyusut sehingga ke paras terkini, RM4.15.

Katanya baru-baru ini, trend naik turun ringgit sebelum ini banyak bergantung kepada harga minyak dunia namun trend berkenaan sudah bercanggah bagi Najib kerana walaupun harga minyak semakin tinggi sehingga AS$78 satu tong sekarang, ringgit tidak mengukuh sebaliknya turun 30 sen sehingga RM4.15.-MalaysiaGazette