Editor The Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown menunjukkan buku The Sarawak Report pada Majlis Pelancaran The Sarawak Report :The Inside Story of the 1MDB Expose di Grand Ballroom, Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 08 SEPTEMBER 2018
Editor The Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown menunjukkan buku The Sarawak Report pada Majlis Pelancaran The Sarawak Report :The Inside Story of the 1MDB Expose di Grand Ballroom, Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 08 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah tidak pernah pada bila-bila masa terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam apa-apa urusan pentadbiran kerajaan dan secara khususnya penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA).

Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu berkata kenyataan dalam buku “The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose” yang mengaitkan Sultanah Terengganu dalam isu berkenaan adalah tidak benar sama sekali.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya kenyataan di muka surat tiga buku itu yang menyebut “Jho was also friendly with a key player in Terengganu, the wife of the Sultan, whose acquiescence was needed to set up the fund and he later cited her support as having been crucial to his obtaining the advisory position.”

“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah juga tidak pernah pada bila-bila masa mengenali ataupun mempunyai sebarang hubungan dengan penama “Jho” yang tersebut dalam buku itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh yang demikian, katanya penulis buku berkenaan perlu mengambil langkah yang sewajarnya untuk membetulkan fakta ini dan mengemukakan permohonan maaf kepada Sultanah Terengganu di atas kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu.

Buku ‘The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose’ yang menceritakan kisah di sebalik siasatan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) oleh pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dilancarkan pada 8 Sept.

Untuk rekod, 1MDB bermula sebagai TIA, iaitu sebuah tabung kekayaan berdaulat yang bertujuan memberi pembangunan ekonomi kepada Terengganu untuk jangka panjang dan melestarikan sosio-ekonomi rakyat negeri itu secara amnya.

Ia ditubuhkan pada 2008 dan kemudiannya bertukar taraf kepada koperasi perbadanan diberi nama 1MDB pada Januari 2009.

— BERNAMA

Tinggalkan Jawapan