Anwar memberitahu, isterinya Dr Wan Azizah akan berundur sebaik beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir.
Anwar memberitahu, isterinya Dr Wan Azizah akan berundur sebaik beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak akan melepaskan jawatannya selagi Datuk Seri Anwar Ibrhaim belum menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata, isterinya akan terus berada dalam Kabinet buat masa ini.

“Kenapa Wan Azizah tidak letak jawatan? Kalau Wan Azizah letak jawatan, nanti hilanglah jawatan Timbalan Perdana Menteri dari PKR.

“Jadi sabarlah, saya dilantik, Dr Wan Azizah akan letak (jawatan TPM). Bila? Bila giliran saya jadi PM. Tak payah orang sibuk dari awal, suruh dia (Wan Azizah) letak (jawatan). Ini yang berlaku dalam negara tapi sabarlah. Orang bangkitkan (tentang perkara ini), saya jelaskan,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 500 anggota PKR dalam program Bicara Maal Hijrah bertajuk “Hijrah ke Arah Malaysia Baru” di Dewan Utama Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar di Johor Bahru.

Tambah Presiden PKR itu, pencalonannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bukan untuk memegang jawatan dalam kerajaan, sebaliknya akan memberi laluan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mentadbir sehingga tiba masa untuknya menyambung tanggungjawab tersebut.

“(Dan) saya juga sudah beritahu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, kalau saya menang (kerusi Parlimen Port Dickson), saya tidak mahu masuk kerajaan sekarang, saya nak bagi laluan kepada Dr Mahathir untuk menggalas tanggungjawab dia sehingga giliran saya,” ujar Anwar. – MalaysiaGazette