KUALA LUMPUR – Menteri pertahanan Malaysia, Indonesia dan Filipina bersetuju memantapkan angkatan darat mereka melalui pelaksanaan latihan ketenteraan sebagai satu inisiatif tambahan mengukuhkan Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA).

Keputusan ini merupakan antara hasil perbincangan menteri-menteri berkenaan di Kem Emilio Aguinaldo di bandar raya Quezon, Filipina di mana Malaysia diwakili Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Mesyuarat itu bersempena lawatan rasmi beliau ke negara berkenaan dari 12 hingga 14 Sept.

“Menteri itu mengulangi komitmen Malaysia ke arah memastikan pelaksanaan TCA yang diwujudkan tiga negara terbabit diteruskan,” kata kenyataan dikeluarkan Kementerian Pertahanan pada Jumaat.

Semasa lawatan itu, Mohamad juga melawat Bandar Marawi di selatan kepulauan Mindanao.

“Menteri itu menegaskan bahawa walaupun pertempuran Marawi secara fizikalnya telah menghapuskan ancaman IS di sekitar bandar, Filipina dan jiran berdekatan harus menggabungkan langkah dan usaha untuk mengenal pasti dan menghapuskan musuh yang lebih besar – ideologi Daesh yang bertapak di banyak kawasan Asia Tenggara,” kata kenyataan itu.

Mohamad juga dibawa menyaksikan kerosakan besar yang berlaku akibat pertempuran selama lima bulan untuk membebaskan bandar Marawi. – Bernama

Tinggalkan Jawapan