Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik.

KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
dicadangkan supaya menubuhkan cawangan di Xian, China memandangkan negara itu mempunyai ramai penduduk beragama Islam.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, cadangan tersebut termasuk membuka sekolah Islam antarabangsa untuk pengajian awal.

“Xian sahaja mempunyai lebih 300,000 penduduk beragama Islam dan berjuta lagi di wilayahj Shan Xi dan di lima wilayah yang lain sekitar Shan Xi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Maszlee, cadangan tersebut tercetus ketika beliau mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Dewan Perniagaan Halal Shan Xi, Tie Qunping semasa mengadakan lawatan kerja ke China selama empat hari.

Katanya, Malaysia mempunyai reputasi negara Islam yang moderat
dan tidak mempromosikan ideologi radikal.

“Kerajaaan China lebih selesa rakyatnya yang beragama Islam belajar di Malaysia berbanding negara-negara di Timur Tengah,” jelasnya.

Sementara itu, Maszlee meminta cawangan Education Malaysia di
Beijing langkah-langkah mempromosi pendidikan Malaysia di China, termasuk mengadakan lebih banyak pengajian Bahasa Melayu di
universiti-universiti di negara itu dan memperkukuhkan program bersama peringkat ijazah dalam pengajian Bahasa Melayu antara Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.

Menurutnya, usaha juga sedang diambil bagi mendapatkan lebih banyak biasiswa untuk pelajar-pelajar Malaysia mengikuti pengajian di universiti-universiti di China serta mencari peluang agar China menaja pelajar mereka untuk belajar di universiti-universiti Malaysia. – MalaysiaGazette