Pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof pada Malam Gala dan Media Screening Filem Munafik 2 di E-Curve Damansara, Selangor. foto IQBAL BASRI, 27 OGOS 2018
Pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof.

KUALA LUMPUR – Pengarah muda, Syamsul Yusof menyifatkan kutipan filem arahannya, Munafik 2 sebanyak RM40 juta dalam masa 17 hari sebagai luar biasa.

Dia berkata, adalah amat sukar untuk sesebuah filem Melayu untuk mencapai angka kutipan sebanyak itu.

Apatah lagi jelas beliau, Munafik 2 berkonsepkan filem serius berbanding komedi ringan yang mudah menarik penonton ke pawagam.

“Saya syukur dan terima kasih kepada penonton yang memberi sokongan kepada filem ini.

“Mencecah kutipan RM40 juta hanya dalam 17 hari tayangan adalah fenomena luar biasa filem di Malaysia.

“Bukan mudah untuk filem Melayu capai ke tahap ini. Tsunami filem Melayu telah bermula dan sesebuah filem itu perlu kena dengan jiwa penonton sebenarnya,” ujarnya.

Beliau ditemui selepas pelancaran wajah baharu Utusan Malaysia di Sogo di sini hari ini.

Munafik 2 berjaya memecahkan rekod sebagai filem Melayu paling tinggi kutipan iaitu sebanyak RM40 juta dalam tempoh 17 hari ditayangkan.

Filem tersebut mengenepikan filem arahan Mamat Khalid Hantu Kak Limah (HKL) yang mengutip RM35 juta bulan lalu.

Sebelum ini Munafik 2 turut mencipta rekod tersendiri apabila mencapai kutipan RM2.05 juta sahaja untuk tayangan awal di pawagam pada 29 Ogos lalu.

Kutipan RM40 juta itu merangkumi tayangan di Malaysia, Brunei dan Singapura.

Filem kesepuluh arahan Syamsul yang turut berlakon sama turut dibintangi beberapa barisan pelakon popular seperti Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Mawi, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali dan Fauzi Nawawi.

Sementara itu, filem Munafik pertama yang ditayangkan pada tahun 2016 telah berjaya meraih kutipan keseluruhan sebanyak RM17 juta.
Filem terbitan Skop Productions dan President Productions ini menelan belanja sebanyak RM2.9 juta. – MalaysiaGazette