Gelagat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Dialog Anak Muda dan Pelancaran Buku ‘A People’s History Of Malaysia’ di Corus Hotel, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 16 SEPTEMBER 2018.
Datuk Seri Anwar Ibrahim. foto SYAFIQ AMBAK, 16 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjanji akan menghapuskan undang-undang ‘drakonian’ atau undang-undang yang menindas.

Perkara itu ditegaskan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadikan contoh penghapusan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 (SOSMA) yang telah diambil oleh kerajaan.

““Saya alami derita (semasa dipenjarakan) untuk menyedarkan dan menginsafkan diri saya supaya dapat rasai derita orang lain, sebab itu bila saya diseksa, saya lihat SOSMA, saya tak setuju bentuk undang-undang yang ada sekarang.

“Kedua saya tak setuju pendakwaan dan hukuman terlalu keras pada kesalahan kecil yang tak setimpal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Meet Anwar’ anjuran Anwar Ibrahim Club, di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya pada program itu, beliau dalam nada berseloroh mengatakan masih waras walaupun telah dipenjarakan selama lebih 10 tahun.

“Anak saya Nurul Izzah masuk penjara hanya satu malam dalam lokap, dia tanya saya “Papa I don’t know how you do it” dia kata dia rasa macam ages, saya total 10 setengah tahun, tapi saya masih waras,” katanya.

Sementara itu, Anwar memohon maaf kerana beberapa janji di dalam manifesto Pakatan Harapan terpaksa ditangguhkan buat masa ini.

Katanya, langkah itu diambil sehingga kewangan negara kembali kukuh.

Tambah beliau, semasa manifesto berkenaan dibuat, PH tidak menjangkakan hutang negara mencecah sehingga RM1 trillion.

“Sekarang ini bila lihat, kenyataan dia berbeza, oleh demikian itu…saya minta maaf kerana ada manifesto yang kita boleh lakukan dan ada yang lain kita kena tangguhkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata hutang yang ditanggung negara ketika ini disumbangkan menerusi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mempunyai hutang berpuluh bilion ringgit, berbanding jangkaan awal di bawah RM3 bilion.

“Kita baru fikir bawah RM3 bilion, kita tak terfikir ada beli kapal beli painting dan ada duit beri kepada Leornado Di Caprio, besar masalah dia, jadi Tun Dr Mahathir (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) kata berilah masa,

Anwar bagaimanapun berkata, beliau secara peribadi memaafkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

“Saya kata dari segi peribadi saya maafkan dia walaupun dia sumbat saya masuk penjara…dua minggu pertama saya tidur atas simen,

“Tapi soal wang negara, soal hak rakyat tak mungkin saya maafkan, kena ikut due process lah, kalau terbukti dia bersalah nasiblah, whatever you take from public, you are accountable,” ujarnya.

Terdahulu sebelum itu, Anwar meluncarkan buku “A People’s History of Malaysia’ karya bekas penyarah Universiti Malaya dan bekas Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali yang kini memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Bantahan, Rayuan dan Disiplin PKR. – MalaysiaGazette