Dr. Mahathir Mohamad

KOTA KINABALU – Kerajaan Persekutuan bersedia untuk menyemak bagi menaikkan royalti minyak daripada 5 peratus kepada 20 peratus yang dibayar kepada negari-negeri pengeluar minyak.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, sebarang semakan yang dibuat perlu memastikan keputusan tersebut tidak ‘membunuh’ Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jika diambil sebanyak 40 peratus bagi royalti minyak dari kos operasinya, syarikat minyak negara itu akan kerugian.

Jelasnya, kerajaan perlu melihat keupayaan syarikat minyak itu kerana Petronas adalah syarikat yang unik.

Ia satu-satunya syarikat minyak yang melakukan cari gali, pengeluaran dan pembangunan dan banyak pihak di seluruh dunia mahukan Petronas beroperasi di negara mereka.

“Jika kita mengurangkan peranan Petronas kepada kutipan royalti, maka kita akan rugi, kita akan terlepas banyak peluang,” katanya sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.

Lantaran itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan perlu mengekalkan kekuatan Petronas tetapi dalam masa sama perlu melihat perkara tersebut (royalti).

Beliau mengakui 5 peratus daripada kos operasi Petronas adalah satu angka besar.

Dalam janji manifesto pada Pilihan Raya Umum lalu, Pakatan Harapan berjanji untuk menaikkan royalti minyak negeri-negeri yang mengeluarkan minyak kepada 20 peratus berbanding 5 peratus sekarang.

Dr Mahathir berkata, kerajaan sudah membayar royalti 5 peratus kepada negeri-negeri terbabit.

Bagaimanapun, katanya, banyak negeri yang masih yang masih berhutang dengan Kerajaan Persekutuan. – MalaysiaGazette