Tiga pelancong China yang dihalau keluar dari sebuah hotel di Sweden. foto Agensi

BEIJING – China menuntut permohonan maaf dari Kerajaan Sweden selepas rakyatnya dihumban keluar dari sebuah hotel oleh polis.

Kejadian itu berlaku semasa seorang lelaki dan ibu bapanya berada di Stockholm.

Tragedi itu tercetus apabila lelaki China dan ibu bapanya tiba di sebuah hotel lebih awal dari masa yang ditetapkan.

Lelaki berkenaan meminta kebenaran untuk berada di lobi tetapi tidak dibenarkan menyebabkan polis campur tangan.

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan dua orang polis mengangkat seorang lelaki keluar hotel dengan ibunya terduduk di kaki lima sambil menangis dan menyebut perkataan ‘selamatkan saya’.

Kedutaan China di Sweden mahu Kerajaan Sweden menyiasat kes itu dan mengeluarkan permohonan maaf.

Pihak kedutaan sangat terkejut dan marah dengan apa yang berlaku serta mengutuk tingkah laku polis Sweden terhadap rakyatnya.

Menurut kedutaan itu, tindakan polis tersebut telah memberi ancaman dan melanggar hak asasi rakyat China.

“Kami sekali lagi menggesa Sweden untuk mengambil perhatian serius dan langkah-langkah praktikal untuk melindungi kepentingan keselamatan dan kepentingan pelancong China,” kata jurucakap Kementerian Luar Geng Shuang.

Insiden ini berlaku ketika hubungan antara China dan Sweden telah tegang. Dalai Lama, pemimpin spritual Tibet yang dipertimbangkan oleh Beijing untuk menjadi pemisah pengganas melawat Sweden minggu lalu.

China juga telah menahan Gui Minhai, seorang penjual buku berpangkalan di Hong Kong dari Sweden, sejak tahun 2015 apabila beliau diculik di Thailand.

Pelancong China, yang dikenali dengan nama keluarga Zeng memberitahu media, dia telah meminta pihak hotel untuk membenarkan kedua ibu bapanya tinggal di lobi sehingga bilik mereka disediakan.

Bagaimanapun, kakitangan hotel enggan memberi kebenaran lalu memanggil polis.

Polis yang tiba di hotel telah mengheret bapanya dari sofa dan ditolak ke tanah.

Laporan media juga melaporkan, ketiga-tiga mereka dipaksa masuk ke dalam kereta polis dan kemudian diturunkan dekat tanah perkuburan di luar pusat bandar Stockholm.

Gui Congyou, duta besar China ke Sweden, memberitahu akhbar Aftonbladet bahawa bapa Zeng mengalami lebam selepas dikasari secara kejam oleh polis.

Tindakan ke atas ketiga-tiga mereka tidak dapat diterima kerana mereka tidak melanggar undang-undang Sweden. – MalaysiaGazette