Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersalaman bersama para hadirin sebaik tiba pada Program Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cepsi di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 SEPTEMBER 2018
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersalaman bersama para hadirin sebaik tiba pada Program Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cepsi di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak sesekali akan menggunakan tenaga nuklear untuk menjana tenaga elektrik, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, ia disebabkan penggunaan sains sehingga kini belum lagi mampu menguruskan isu bahan buangan dan kesan radiasi.

Menurutnya, banyak insiden susulan penggunaan nuklear yang tercetus di seluruh dunia termasuk Jepun dan Chernobyl, Ukraine telah menyaksikan penduduk di negara berkenan dibelenggu masalah kesan radiasi.

“Ada dua benda berkaitan saya yang semua orang tahu, iaitu perokok tidak dibenarkan berdekatan dengan saya dan nuklear bukan penyelesaian tenaga elektrik.

“Perdana Menteri kelima dan keenam mungkin ada pendirian berbeza, tetapi kini saya sudah kembali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama perasmian Persidangan Industri Pembekalan Tenaga Elektrik (CEPSI) 2018, hari ini.

Turut hadir, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin serta Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Leo Moggie.

Sehubungan itu, Mahathir menegaskan, Malaysia akan terus bergantung kepada kaedah sedia ada dalam penjanaan tenaga elektrik, iaitu menerusi bahan api fosil, empangan dan angin yang lebih stabil serta mesra alam sekitar.

Menurut Mahathir lagi, ledakan kemajuan sains sehingga kini belum berupaya menangani kesan kebocoran radiasi dan kerajaan perlu merangka langkah terbaik untuk melupuskan bahan buangan daripada nuklear.

Ujarnya, ia antara faktor Malaysia menentang peralihan tenaga berasaskan nuklear walaupun kos penggunaannya murah, namun ia mengundang pelbagai kesan sampingan.

“Malaysia mempunyai pengalaman buruk daripada penggunaan amang, iaitu sejenis bahan hitam yang digunakan untuk menghasilkan warna dalam televisyen suatu masa dulu.

“Amang perlu diaktifkan terlebih dulu sebelum boleh digunakan namun masalah timbul daripada lebihan bahan berkenaan angkara industri penghasilan televisyen mempunyai kaedah lain untuk menghasilkan warna.

“Kesan radiasi amang berleluasa sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat ketika itu, justeru kita tidak mahu insiden sama berulang.

Dalam pada itu, Mahathir turut menyentuh kemungkinan kemajuan sektor pengangkutan, dengan melihat unjuran harga pasaran kereta elektrik mungkin dua kali ganda berbanding kenderaan konvensional.

Jelasnya, isu lain dalam pasaran kereta elektrik ialah ketahanan bateri kenderaan berkenaan yang setakat ini hanya mampu beroperasi sejauh 200 kilometer berdasarkan kuasa janaan penuh.

“Mungkin kita boleh gabungkan ICE (pembakaran enjin dalaman) dan enjin berasaskan tenaga elektrik supaya masalah ketahanan bateri berupaya ditangani.

“Semua ini masih dalam fasa kajian dan pembangunan, justeru saya harap ia bakal menempa kejayaan sekali gus menyaksikan Malaysia melangkah ke alam industri automotif baharu,” tambah beliau.

Persidangan tujuh hari, mulai semalam hingga 23 September ini yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) disifatkan sebagai medan untuk Malaysia meningkatkan kecekapan dalam pengurusan tenaga elektrik dan isu berkaitan. – MalaysiaGazette