KUALA LUMPUR – Pelabur asing merekodkan aliran masuk sebanyak RM2.6 juta pada tahun lalu.

Ia adalah aliran masuk paling kecil yang pernah direkodkan pada tahun ini.

Meskipun begitu, Malaysia adalah satu-satunya negara yang menarik aliran masuk asing dalam kalangan empat negara ASEAN yang dipantau.

MIDF Research berkata, pelabur asing melupuskan dengan ketara ekuti tempatan sebanyak RM349.8 juta sebaik sahaja pasaran dibuka semula selepas cuti panjang, mendorong bursa tempatan ditutup 1,785 mata – prestasi penutup paling rendah dalam 18 hari dagangan.

Katanya, jualan pada hari Rabu adalah seiring dengan pasaran serantau susulan tindakan China mendapatkan kebenaran Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) untuk mengenakan sekatan perdagangan terhadap Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, rekod jualan lima hari di bursa ditampung dengan belian ekuiti sebanyak RM174.4 juta paras tertinggi dalam 22 hari dagangan di tengah-tengah rancangan Washington untuk mengadakan rundingan perdagangan dengan China.

Aliran masuk asing lebih tinggi pada hari Jumaat iaitu RM177.7 juta, menjejaki keuntungan di Wall Streets.

Ringgit juga menokok sebanyak 0.15 peratus – paras paling kukuh sejak 3 September 2018 – keuntungan pada minggu pertama dalam tempoh 12 minggu.

MIDF Research berkata, setakat Jumaat lalu, jumlah aliran keluar dari bursa mencecah RM9.25 bilion, lebih daripada 90 peratus daripada jumlah aliran masuk asing pada tahun 2017.

Walaupun begitu, Malaysia masih mengekalkan kedudukannya sebagai negara kedua terendah aliran keluar dalam empat pasaran ASEAN. – MalaysiaGazette