KUALA LUMPUR – Agensi Pengurusan Bencana Negara memaklumkan operasi pembersihan kesan ribut di Perlis sedang giat dijalankan oleh pelbagai agensi berkaitan juga kerjasama orang ramai.

Agensi itu berkata, keutamaan dalam operasi itu adalah kepada pokok yang tumbang dan menghalang laluan juga yang menghempap rumah.

“Sebanyak 189 kes pokok tumbang diterima yang mengakibatkan gangguan elektrik di kawasan-kawasan terbabit,” kata kenyataan itu.

Manakala pegawai agensi itu akan membentangkan kos kerosakan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perlis malam ini selepas membuat penilaian.

“Pegawai-pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama agensi-agensi berkaitan sedang membuat pemantauan dan penilaian kerosakan yang akan dibentangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang akan diadakan pada malam ini,” tambahnya.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perlis terdapat sebanyak 102 buah rumah yang terjejas sekitar Mata Ayer, Bintong, Kayang, Beseri, Sena, Chuping, Kuala Perlis dan Pauh.

Ketika kejadian berlaku semalam, kelajuan angin yang direkodkan oleh MET Malaysia Negeri Perlis ialah 37 Knot (68.7 Km/h).-MalaysiaGazette