Harapan kerajaan untuk menarik kunjungan tiga juta pelancong China pada tahun ini mungkin tidak kesampaian selepas menerima tempias daripada perubahan pemerintahan dalam pilihan raya. foto MalaysiaGazette
Harapan kerajaan untuk menarik kunjungan tiga juta pelancong China pada tahun ini mungkin tidak kesampaian selepas menerima tempias daripada perubahan pemerintahan dalam pilihan raya. foto MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Harapan kerajaan untuk menarik kunjungan tiga juta pelancong China pada tahun ini mungkin tidak kesampaian selepas menerima tempias daripada perubahan pemerintahan dalam pilihan raya.

Malaysia berjaya menarik kunjungan 2.1 juta pelancong China pada tahun lalu dan mengharapkan rekod tertinggi itu dipecahkan pada tahun ini.

Nanyang Siang Pau melaporkan, pelbagai keadaan termasuk faktor politik bagaimanapun menyebabkan kemasukan pelancong China bertukar kepada rentak perlahan pada Julai dan Ogos tahun ini.

Walaupun jumlah pelancong China menunjukkan sedikit peningkatan pada September, tetapi keadaan itu didorong oleh kemasukan peserta persidangan dan juga syarikat China yang memberi pakej pelancongan di Malaysia sebagai insentif pekerja.

Perang perdagangan Amerika Syarikat dengan China, demam Piala Dunia, rentak ekonomi China yang bertukar perlahan serta ketiadaan “berita baik” kerajaan untuk menarik pelancong China telah menyebabkan penurunan kemasukan pelancong dari negara Tembok Besar.

Presiden Persatuan Usahawan China di Malaysia, Datuk Keith Li berkata, “kenyataan sensitif” kerajaan Malaysia termasuk larangan pembelian rumah oleh warga China menyebabkan ada yang berasa Kuala Lumpur tidak mengalu-alukan pelancong China.

Katanya, walaupun penjelasan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sedikit sebanyak menjernihkan keadaan, tetapi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan seharusnya melakukan lebih banyak penjelasan bagi mengelakkan salah faham.

“Entiti berkenaan harus mengeluarkan kenyataan dan menyatakan Malaysia mengalu-alukan pelancong asing, termasuk dari China.

“China merupakan negara sumber pelancong utama untuk Malaysia dan pelancong China mempunyai kuasa beli yang tinggi, Malaysia justeru harus menghargai pelancong China,” katanya. – MalaysiaGazette